Halaman

WebTV PAS

KELANTAN TV (LIVE)

Jadual Siaran LIVE Tetap KELANTAN TV www.mykelantan.tv
Kuliah Jumaat
Setiap hari Jumaat
Bermula pukul 8.30 pagi - 10.30 pagi

Jumaat, Februari 26, 2010

Adun Titi Serong selamat dalam kemalangan


Adun Titi Serong, Perak, Drs Khalil Idham Lim terlibat dalam kemalangan kereta di Bukit Berapit petang semalam ketika dalam perjalanan memenuhi undangan program hi-tea dan ceramah di Tapah.

Ketika dihubungi, Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, beliau dan pemandunya tidak dapat mengelak apabila tiba-tiba sahaja sebuah lori kontena keluar dan meski mengelak namun berlaku juga geselan di sebelah kiri.

“Saya bersyukur kerana kami tidak mengalami apa-apa kecederaan meskipun kereta saya mengalami kerosakan teruk, namun dalam keadaan menggeletar dan trauma, saya masih boleh keluar dan menghubungi kawan-kawan berhampiran,” jelasnya.

Di dalam blognya, Cina Islam, beliau menyatakan selamat sampai sekitar jam 10.30 malam tadi di rumahnya di Parit Buntar dihantar oleh Unit Amal Bukit Gantang.

“Sebenarnya sehari dua ini badan juga kurang sihat dan pagi tadi saya sempat menemui doktor meminta ubat batuk, demam dan selsema. Selain itu saya mengambil peluang untuk memeriksa jantung, kolesterol dan kandungan gula. Alhamdulillah keadaan jantung dalam keadaan baik, kandungan gula 4.2 dan kolesterol 5.06. Kata doktor semuanya baik dan normal.

“Alhamdulillah saya dalam keadaan baik dan akan kembali bertugas esok hari. Petang esok saya akan menaiki kapal terbang dari Penang ke KL untuk menaiki kapal terbang ke Miri, Sarawak pada awal pagi sabtu ini kerana program yang telah diatur lebih awal.

”Awal pagi minggu 28 Februari saya balik ke Kuala Lumpur untuk mengikuti tiga program yang diatur dan hanya akan kembali ke Parit Buntar pada pagi Isnin depan,” tambahnya lagi.

Menurutnya, semangat kembali pulih walaupun telinga masih rasa bengang dan terbayang-bayang bagaimana kejadian petang tadi, namun tidak melemahkan semangat untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, pimpinan PAS Perak serta sahabat-sahabat yang membantu semasa dan selepas kejadian, ketika membuat laporan di IPD Kuala Kangsar sehinggalah yang menghantarnya sampai ke rumah di Parit Buntar.

HarakahDaily

Anwar: Ekonomi Malaysia kini retak dan bakal berkecai

Pengumuman pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.5 peratus bagi suku terakhir 2009 merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh kerajaan kerana ia merupakan hasil suntikan ransangan ekonomi, kata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, pengumuman oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu juga dibuat terlalu awal memandangkan kesan daripada pakej ransangan ekonomi itu hanyalah reaksi sementara dan tidak dapat dilakukan secara berterusan.

"Oleh sebab itu, saya amat khuatir kerana kaedah pergantungan yang berterusan kepada perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran seperti yang diamalkan Barisan Nasional, akan membawa kita ke kancah permasalahan ekonomi yang sangat serius.

"Saat apabila ekonomi negara yang kini retak akan terbelah dan berkecai sebenarnya sudah hampir tiba," katanya lagi dalam kenyataan medianya hari ini.

Najib pada Rabu lalu mengumumkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus bagi suku keempat tahun lalu yang disifatkannya sebagai pencapaian di luar jangkaan, hasil permintaan dalam dan luar negara yang lebih kukuh.

'Malaysia paling lembap di rantau ini'

Namun, menurut Anwar, pengumuman itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan paling lembap di kalangan negara-negara serantau pada tahun ini.

"Apa yang tidak diuar-uarkan oleh Perdana Menteri di sebalik anggaran pertumbuhan 5 peratus itu adalah hakikat bahawa pada kadar tersebut, Malaysia ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina, malahan juga Vietnam dalam tahun 2010 kelak," katanya.

Tambahnya lagi, ini merupakan perbezaan ketara berbanding pencapaian sebelum ini yang meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura.

"Anggaran terbaru yang dikeluarkan oleh IMF pada Oktober 2009 menunjukkan bagi tahun 2010, Malaysia dijangkakan akan tumbuh pada kadar yang paling lembap berbanding kumpulan negara-negara tadi.

"Walaupun ekonomi dunia dijangka akan mula pulih. Vietnam dijangka akan tumbuh pada kadar 2 kali ganda lebih baik dari Malaysia dan negara-negara lain akan berkembang pada kadar yang secara puratanya 50 peratus lebih pesat dari Malaysia," katanya.

Tambahnya, keadaan ini timbul hasil daripada dasar ekonomi BN dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi menutup kegagalan menarik pelaburan individu dan swasta.

"Kalau sebelumnya di antara tahun 1991 hingga 1997 pelaburan individu dan swasta meningkat setiap tahun pada kadar 16.2 peratus, selepas 1998 hinggalah kini kadar ini hanya menokok 1 peratus secara purata sejak 11 tahun lepas.

"Mengambil kira kesan inflasi, maknanya di antara tahun 2005 sehingga 2008, pelaburan individu dan swasta kekal tidak berkembang pada tahap RM20.3 billion setiap tahun.

"Jumlah ini adalah lebih rendah dari jumlah pelaburan individu dan swasta semasa saya mula-mula menjadi Menteri Kewangan dalam tahun 1991, iaitu hampir 20 tahun lalu," katanya lagi....malaysiakini

Khamis, Februari 25, 2010

Kelantan tunai janji bawa 'Red Worriors' umrah Ogos ini

KOTA BHARU, 25 Feb: Seramai 40 orang petugas dan pemain skuad bola sepak Kelantan atau ‘Red Warriors’ bakal menunaikan umrah pada minggu kedua bulan Ogos tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, skuad berkenaan akan menunaikan umrah dengan sumbangan kerajaan negeri sebagai memenuhi janji kepada pasukan itu yang telah layak ke separuh akhir Liga Perdana musim lalu.

Katanya, tarikh berkenaan dipilih mengikut cadangan yang dikeluarkan oleh pihak KAFA sendiri.

“Walaupun kita telah menghantar surat tahun lalu, namun pihak mereka hanya bersedia menunaikan umrah pada bulan Ogos.

“Mungkin waktu itu ruang untuk mereka tidak lagi terbatas atau mungkin juga mereka ingin berada di tanah suci sewaktu bulan Ramadan,”ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media, di pejabatnya di sini tengahari tadi ketika diminta mengulas berhubung perkara itu.

Tahun lalu, mesyurat exco telah memutuskan untuk menghantar umrah kepada semua pemain dan petugas menunaikan umrah, sebaik sahaja negeri itu layak ke peringkat akhir bagi merebut Piala Malaysia 2009.

Abdul Fatah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau turut mengakui kerajaan negeri setakat ini tidak memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai kepada KAFA bagi membantu pasukan itu dalam memajukan bidang bola sepak di negeri ini.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan negeri lebih memberi tumpuan dalam bentuk sokongan moral dan mengurangkan bayaran levi kepada Perbadanan Stadium untuk mengurangkan bebanan pada persatuan.

“Selain itu juga kita turut menyampaikan bayaran intensif lain kepada pemain bola sepak yang menaikkan nama serta mutu bola sepak Kelantan di bawah presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa,”ujarnya.

Tambahnya, sebagai contoh terkini menghantar skuad ‘Red Warriours’ ke tanah suci Makkah untuk menunaikan umrah.

Beliau juga mengumumkan, pasukan Red Warriors akan mengerjakan umrah ke tanah Suci Mekah pada minggu kedua Ogos depan sebagai memenuhi janji kerana pasukan itu layak ke separuh akhir Liga Perdana musim lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri juga berharap kejohanan bola sepak Piala Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Piala Tok Guru) dapat dimasukkan dalam senarai aktiviti bola sepak dikendalikan oleh KAFA.

Terdahulu dalam sidang medianya beliau memberitahu kerajaan negeri buat julungkalinya akan mengadakan Karnival Bola Sepak Bawah 14 dan 16 Tahun Terbuka Kelantan 2010.

Karnival berkenaan akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 20 Mac bagi merebut piala Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri 2010.

Menurutnya, johan kategori bawah 14 tahun akan membawa pulang RM1,500 diiringi piala, madel dan sijil, naib johan, RM1,000 dan ketiga RM500 dan saguhati suku akhir RM300.

“Manakala kategori bawah 16 tahun johan RM2,000 beserta piala, madel dan sijil, naib johan RM1,500, medal dan sijil, ketiga bersama RM700 (setiap satu) berserta madel dan sijil dan saguhati suku akhir RM400 disamping sijil,”ujarnya lagi.

Pada majlis itu juga, Fatah turut menyampaikan cek bernilai RM12,000 kepada Pengerusi Akademi Bolasepak Darulnaim, Mahadi Yussof....HarakahDaily