Halaman

WebTV PAS

KELANTAN TV (LIVE)

Jadual Siaran LIVE Tetap KELANTAN TV www.mykelantan.tv
Kuliah Jumaat
Setiap hari Jumaat
Bermula pukul 8.30 pagi - 10.30 pagi

Khamis, Disember 22, 2011

Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang - POLITIK ISLAM ADA FEQAHNYA




Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.


Firman Allah :
Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)
Sabda Rasulullah S.A.W.

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.
Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.
Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.
Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.
Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.
Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.
Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.
Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.
Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.
PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.
Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.
Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.
Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.
PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.
PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.
Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.


Khadam Perjuangan Islam

Nik Abdul Aziz Nik Mat - Hormati Saluran Parti, Jangan Berikan Peluru Untuk Musuh


Saya ingin memberikan sedikit ulasan berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini. Saya menyokong sepenuhnya keputusan ini dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.


Selaku Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak. Justeru, dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas. Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan. Dalam hal ini, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS ini.

Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti. Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-allah.

YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATO NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh pada : 26 Muharram 1433H bersamaan 22 Disember 2011M
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan

Khamis, Disember 08, 2011

PAS jamin Melayu Islam jadi teras politik negara



KUALA TERENGGANU, 8 Dis:
PAS memberi jaminan bahawa teras politik negara tetap dipegang oleh Melayu Islam jika Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional (BN).

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, semua pihak di Malaysia hari ini menyedari hakikat bahawa teras kepada politik negara adalah Melayu Islam.

Katanya, semua kaum dan semua parti sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang menyedari keadaan tersebut.

Menurutnya, mana-mana parti yang menguasai politik Melayu Islam akan menjadi teras kepada politik negara ini.

“Kita perlu menyedari bahawa semua kaum di Malaysia, semua parti di Malaysia sama ada kerajaan atau pembangkang, sama ada Umno, PAS, MCA, MIC, Gerakan, DAP dan lain-lain.

“Mereka (rakyat) menerima hakikat bahawa teras kepada politik negara ini ialah Melayu Islam. Sesiapa yang menguasai politik Melayu Islam maka, dia menguasai teras politik negara,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang ketika membahaskan Belanjawan (Bajet) 2012 pada Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12, di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurutnya, jika berlaku pertembungan dalam pilihan raya antara PAS dengan Umno kerusi Melayu tidak terjejas atau hilang.

Malah, katanya kuasa politik Melayu Islam menjadi semakin kuat dan kukuh apabila PAS menggantikan kerusi Umno dan BN tersebut.

“Umno hari ini ada 78 kerusi seluruh negara. PAS 23 kerusi dan PKR ada 18 kerusi Melayu. Sekiranya, PAS dapat 40 kerusi lagi menjadikan PAS 63 kerusi, Umno jadi menurun jumlah kerusinya.

“Dalam keadaan ini teras kuasa politik masih dikuasai oleh orang Melayu Islam. Siapa yang menguasai teras politik, dialah yang menguasai politik negara.

“Malangnya, orang Melayu diperbodohkan termasuk di Terengganu dan disebarkan jika Umno kalah DAP yang memerintah Terengganu, sedangkan DAP satu kerusi pun tidak bertanding di Terengganu. Kita memperbodohkan orang kita sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, andaian DAP yang akan menguasai politik negara jika Umno kalah dalam pilihan raya adalah tidak benar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan kawasan-kawasan yang dikuasai orang bukan Islam secara majoritinya ialah 40 kerusi dari 220 kerusi.

Tetapi malangnya, kata Ustaz Abdul Hadi apabila MCA, MIC dan Gerakan kalah di kawasan majoriti bukan Melayu, maka diambil kerusi-kerusi yang majoriti Melayu campuran untuk diberi kepada MCA, MIC dan Gerakan.

Menurutnya, strategi politik Umno tersebut silap kerana secara tidak langsung boleh mengurangkan kerusi Melayu walau pun BN masih majoriti.

“Kerusi bukan Islam secara majoriti sekitar 40 kerusi dari 220 kerusi di Parlimen. Apabila MCA, MIC dan Gerakan kalah di kawasan mereka (bukan Melayu).

“Umno telah mengambil kerusi-kerusi yang majoriti campuran Melayu untuk diberi kepada MCA, MIC dan Gerakan.

“Ini boleh mengurangkan kerusi Melayu sendiri. Ini satu kesilapan strategi politik dari Umno sendiri walau pun BN masih majoriti,” ujarnya.

Katanya, kerjasama Umno dengan MCA, MIC dan Gerakan adalah kerjasama wala’ yang boleh menggadai prinsip serta perhitungan halal dan haram.

Khairul Azlam Mohamad

HarakahDaily

PAS tidak pernah bina kasino, kilang arak

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Umat Islam khususnya orang Melayu diseru bersyukur kepada Allah SWT kerana sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan dan Terengganu bukan sahaja tidak pernah membina kasino dan kilang arak bahkan tidak terdetik untuk merestuinya.

“Apa yang orang Islam khususnya orang Melayu saksikan kewujudan pusat judi Genting dan kilang arak di negara ini adalah hasil daripada kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Umno,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini bahawa PAS hanya berjaya membina satu masjid sepanjang pemerintahannya di Kelantan.

“Bilangan masjid bukan matlamat kita tetapi memakmurkan masjid itulah yang menjadi objektif utama PAS, bahkan Rasulullah s.a.w meletakkan asas bahawa memakmurkan masjid sebagai perkara utama dan mencela masjid yang dibina bukan di atas dasar taqwa kepada Allah, sepertimana yang dirakamkan di dalam Al-Quran tentang masjid dhirar yang dicela oleh Allah kerana dibina bukan kerana Allah.

Alhamdulillah, PAS tidak pernah bina satu kasino dan kilang arak pun.

“Siapa yang bina tempat tersebut di tanahair kita ini?” soalnya.

Beliau juga bertanya siapa yang merasmikan kilang arak di negara ini.

“Semua rakyat khususnya yang beragama Islam sangat tahu tentang hakikat ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Rasulullah s.a.w melarang umat Islam daripada memperkecilkan sesuatu amalan yang maaruf , mungkin ianya nampak kecil pada mata kita tetapi ia sebenarnya memberikan timbangan yang sangat berat pada hari akhirat kelak.

Justeru, katanya Umno sepatutnya memuhasabah diri terhadap perkara maksiat yang telah dilakukan termasuk mengizinkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam untuk terus berlaku dalam negara ini.

“Kita harap umat Islam tidak terus memberi kepercayaan kepada Umno lagi dalam PRU 13 yang akan datang kerana kegawatan akhlak yang berlaku pada hari ini sebenarnya berpunca daripada sistem yang tidak berlandaskan Islam,” ujar beliau lagi.

Harakahdaily

PAS lancar buku dokumen negara berkebajikan



KUALA LUMPUR, 8 Dis:
Seperti dijanjikan sebelum ini, PAS akan melancarkan buku Negara Berkebajikan parti itu pada Ahad 11 Disember ini.

Pelancaran buku tersebut akan disempurnakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada program yang akan bermula jam 3 petang bertempat di ruang lobi Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam.

Buku yang bertajuk "Negara Berkebajikan: Tawaran PAS" itu merupakan penjelasan dan perincian terhadap kandungan konsep negara berkebajikan yang mahu ditawarkan PAS.

Buku setebal 59 muka surat itu mengandungi tujuh bahagian antara lain memuatkan penjelasan konsep negara berkebajikan, teras-teras utama, polisi-polisi umum dan 10 agenda permulaan jika PAS diberi mandat bersama Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Bahagian 10 agenda permulaan pula memperincikan tawaran PAS antara lain seperti berikut:

1- Kerajaan beramanah, adil dan bersih
2- Masyarakat penyayang , aman dan bersatu
3- Ekonomi mampan, seimbang dan saksama
4- Pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai
5- Perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai
6- Kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat
7- Keluarga harmoni, bahagia dan bermoral
8- Belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela
9- Kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia
10- Alam sekitar segar, terpelihara dan lestari

Sementara itu, buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Tuan Guru Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku ini adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkan beliau dalam muktamar tahunan PAS ke 57 baru-baru ini yang bertemakan Membangun Negara Berkebajikan.

Harakahdaily

Selasa, Disember 06, 2011

Mahasiswa: Tak mencukupi sekadar pinda AUKU



Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 (AUKU) sahaja tidak mencukupi bagi menjamin autonomi institusi berkenaan, kata sekumpulan mahasiswa.

NONEJusteru, perwakilan Solidariti Mahasiswa Malaysia dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mendesak supaya Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Syarikat 1965 juga dipinda.

"Jika Seksyen 15 (AUKU) akan dimansuhkan atau digantikan, beberapa bahagian di bawah kedua-dua Akta berkenaan juga mesti dikaji semula," kata pengerusi SMM, Ahmad Syukri Abd Razab kepada Malaysiakini.

Enakmen berkenaan, kata Ahmad Syukri, telah menimbulkan masalah kepada lima orang pelajar, yang digantung kerana terbabit dengan perhimpunan haram pada bulan April lalu.

Kesalahan mereka hanyalah kerana mendesak pihak pengurusan Kuin menimbang semula penggunaan sebuah bangunan kolej kediaman untuk dijadikan tempat mengaji al-Quran.

"Seksyen 10 dan 11 Akta Syarikat dan Seksyen 46 dan 47 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta telah digunakan ke atas mereka," kata Ahmad Syukri.

Kumpulan mahasiswa itu, hari ini menyerahkan memorandum mereka kepada Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya dan telah diberi jaminan bahawa permintaan mereka akan dibincangkan semasa mesyuarat meja bulat yang dijadualkan bermula dalam masa dua minggu.

Menurut Ahmad Syukri, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah telah memaklumkan kepada mereka bahawa pihaknya akan merujuk kepada pihak-pihak yang terbabit dengan pindaaan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang sekarang melarang pelajar daripada terbabit dalam politik..-

MalaysiaKini

Kontrak Alstom: Bekas MB Perlis nafi terima habuan RM25 juta



KUALA LUMPUR, 6 Dis — Meskipun adanya hasil siasatan terperinci oleh pihak berkuasa Switzerland, veteran Umno Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh menafikan pernah menerima habusan daripada syarikat gergasi kejuruteraan Perancis Alstom yang memperoleh kontrak membina loji jana kuasa di Perlis lebih dua dekad lalu.

Bekas menteri besar Perlis dan bekas Speaker Dewan Negara ini berkata demikian dalam reaksinya berhubung laporan Straits Times Singapura bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggeledah pejabat Teknologi Tenaga Perlis Consortium (TTPC), yang sebahagiannya dimiliki oleh beliau.

Semalam, akhbar itu melaporkan bahawa veteran Umno berkenaan secara langsung dikaitkan dalam dakwaan rasuah Alstom dalam memperoleh kontrak berkenaan.

“Saya ingin mengatakan bahawa dakwaan yang terdapat dalam laporan itu tidak berasas sama sekali dan berniat jahat,” kata Abdul Hamid (gambar) dalam kenyataan dihantar kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Kata beliau, lembaga pengarah syarikat termasuk Ti Chee Liang yang dinamakan dalam kertas mahkamah Switzerland tidak menerima 7.5 juta franc Swiss (RM25.5 juta) untuk membantu Alstom Malaysia mendapatkan kontrak membina loji jana kuasa di Perlis akhir 1990-an.

“Saya mengesahkan tidak ada sebarang wang diterima oleh ahli lembaga pengarah termasuk saya,” kata veteran Umno ini.

Abdul Hamid menjelaskan bahawa keputusan untuk menganugerahkan kontrak adalah sebulat suara dan kontrak telah diberikan pada 30 November 1999 kepada ABB ketika beliau merupakan lembaga pengerusi. ABB kemudian dibeli oleh Alstom.

Beliau merupakan menteri besar Perlis antara 1986 dan 1995 sebelum dilantik sebagai pengerusi TTPC dari 1996 hingga 2005.

Abdul Hamid memberitahu bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai siasatan ke atas Alstom Malaysia oleh pihak berkuasa Switzerland.

“Sehingga hari ini, saya tidak dimaklum atau dipanggil oleh mereka untuk memberi apa-apa keterangan atau menyediakan sebarang butiran, saya terkejut pihak berkuasa Switzerland menuduh saya dan Ti mengenai salah laku, kewangan atau sebagainya.

“Oleh itu, saya teleh mengarahkan peguam di Switzerland untuk memulakan prosiding membersihkan nama saya,” kata beliau sambil menambah, “saya mengalu-alukan sebarang siasatan berkenaan dakwaan tidak berasas ini.


The Malaysian Insider