Para mufti di negara ini diminta mengulas dan menyatakan hukum berhubung cadangan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan judi sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 khususnya dari sudut agama Islam.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa, berkata sekiranya terdapat seorang mufti mengulas dari sudut hukum terhadap calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Datuk Zaid Ibrahim, yang pernah meminum arak sebelum ini sebagai haram, PAS dan rakyat meminta mufti mengulas dari sudut yang sama berhubung perkara itu.
Katanya, mufti jangan berdiam diri dalam soal itu kerana sudah jelas dan nyata Allah telah berfirman dalam al-Quran melalui ayat yang sama bahawa minum arak dan berjudi adalah haram dan dosa besar.
Katanya lagi, keputusan kerajaan itu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan ianya telah disiarkan oleh televisyen.
Kelmarin, Awang Adek dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Tambahnya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.
“Saya sebenarnya tidak menonton televisyen, sudah hampir 10 tahun saya tidak menontonnya, saya mengetahuinya melalui satu sms.
“Antara yang terkandung dalam sms itu, apa sudah jadi Datuk? Awang Adek dah lulus lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010, kononnya tidak mahu adanya aktiviti judi haram tanpa lesen,” ujar Husam.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu juga seterusnya membertahu, malang sekali rakyat Kelantan khususnya sekiranya masih memberi undi kepada Awang Adek sehingga tidak tahu perjudian tetap haram biarpun berlesen.
Sambungnya, perkara yang sedemikian (haram dianggap halal) akan berlaku dan terus berlaku sekiranya Umno memisahkan agama dengan politik.
“Adakah rakyat di negara ini masih memandang remeh terhadap keputusan kerajaan ini apa lagi ianya membabitkan soal agama, tak rasa sensitif dan jijik ke terhadap tindakan itu?
“Malang sungguh kita sekiranya membiarkan perkara ini berlaku,”ujarnya lagi.
Husam memberitahu, berikutan keputusan kerajaan meluluskan lesen tersebut, ada seorang wanita Cina menghubunginya supaya bertindak menahan agar lesen tersebut tidak berjaya dilaksanakan.
Katanya, menurut wanita Cina itu lagi, masyarakatnya akan lebih kemaruk sekiranya aktiviti itu dibiarkan sehingga akan berlaku huru hara dalam keluarga.
“Kalau orang Cina boleh berfikiran sedemikian, kenapa kita orang Islam memandang remeh serta turut menyokong apa yang dibuat oleh kerajaan BN,” ujarnya lagi