Halaman

WebTV PAS

KELANTAN TV (LIVE)

Jadual Siaran LIVE Tetap KELANTAN TV www.mykelantan.tv
Kuliah Jumaat
Setiap hari Jumaat
Bermula pukul 8.30 pagi - 10.30 pagi

Ahad, Mac 28, 2010

Kementerian Kesihatan digesa umum pencemaran Rotarix


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) iaitu virus yang biasanya ditemui dalam babi.

Beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini turut melahirkan rasa amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix.

Ini kerana, katanya vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

CAP amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix, vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.

Kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) – virus yang biasanya ditemui dalam babi.

Rotavirus adalah genus virus RNA dalam keluarga Reoviridae. Ia merupakan penyebab utama cirit birit yang teruk dalam kalangan bayi dan kanak-kanak dan merupakan salah satu daripada beberapa virus yang menyebabkan Rotavirus gastroenteritis, penyakit sederhana hingga ke peringkat yang teruk dengan ciri-ciri muntah, cirit birit berair, demam dan biasanya dikenali sebagai stomach flu, ia tidak mempunyai kaitan dengan selesema. Menjelang usia lima tahun, hampir setiap kanak-kanak di dunia ini dijangkiti dengan rotavirus sekurang-kurangnya sekali.

Bagaimanapun, dengan setiap jangkitan, imuniti akan berkembang dan jangkitan seterusnya. akan menjadi kurang teruk dan orang dewasa jarang terjejas. Terdapat tujuh spesies virus ini yang dirujuk sebagai A, B, C, D, E, F dan G, kesemuanya juga menyebabkan penyakit terhadap binatang lain. Rotavirus A, yang paling biasa menyebabkan lebih daripada 90% daripada jangkitan pada manusia.

Vaksin rotavirus seperti GSK Rotarix sepatutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada rotavirus. Laporan media menjelaskan Rotarix diperbuat daripada rotavirus manusia yang lemah yang dibesarkan di dalam sel hidup. GSK menggunakan sel buah pinggang monyet untuk tujuan ini.

Menurut Dr Margaret Hamburg, Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), cebisan DNA PCV1 ditemui dalam bank sel Glaxo, bermakna ia hadir daripada perkembangan awal vaksin yang pada hakikatnya vaksin sepatutnya hendaklah disteril (bersih dari kuman). Kemungkinan besar GSK tidak menyedari sesuatu yang janggal ini dalam vaksin mereka lama sebelum 2006 apabila mereka menjalankan ujian klinikal ke atas Rotarix untuk kanak-kanak.

Kami mempersoalkan kenapa GSK tidak membuat sebarang usaha untuk mengasingkan dan memusnahkan virus ganas PCV1 dalam pelbagai bahan genetik yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin apabila ia boleh dilihat dengan jelas oleh saintis jika keselamatan diutamakan. Amat mengejutkan sekali apabila GSK membenarkan keadaan berbahaya untuk berterusan sehingga beberapa tahun sehingga ia muncul sebagai pencemar untuk vaksin bagi kanak-kanak semuda seusia enam minggu.

Pada hakikatnya, GSK hanya melaporkan penemuannya sendiri berhubung kehadiran PCV1 dalam Rotarix kepada FDA pada 15 Mac, berdasarkan kepada kerja yang pada asalnya dilakukan oleh pasukan penyelidik akademik. Diikuti oleh ujian susulan yang dijalankan bersama oleh GSK dan FDA mengesahkan penemuan pasukan itu dan mengesahkan komponen viral terdapat sejak peringkat awal perkembangan vaksin termasuk sewaktu ujian klinikal.

Terdapat dakwaan bahawa tiada bukti bahawa terdapat risiko kepada pesakit yang menerima vaksin ini, bagaimanapun FDA pada 22 Mac memutuskan untuk berhati-hati dan mengeluarkan amaran kepada pakar kanak-kanak di seluruh negara di Amerika Syarikat untuk menghentikan memberikan Rotarix kepada pesakit mereka sementara menunggu siasatan yang dijangkakan berakhir dalam masa enam minggu. Pihak FDA juga mengakui sehingga kini virus babi yang khusus ini bukanlah satu-satunya yang mereka fikirkan pembuat vaksin perlu untuk memeriksa produk mereka.

Pada hari ini (27 Mac), Kementerian Kesihatan Emiriyiah Arab Bersatu (UAE) telah mengambil isyarat daripada FDA dan telah mengarahkan pergantungan segera pengimportan, pengedaran dan penjualan Rotarix dan pengharaman sementara penggunaannya untuk kanak-kanak. Jordan melalui Pentadbiran Makanan dan Ubatan juga telah menerima pakai pendirian FDA dengan menggantung semua preskripsi Rotarix memandangkan mereka bimbangkan risiko kesan sampingan yang tidak diketahui daripada PCV1.

Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah meminta doktor menangguhkan vaksinasi Rotarix atau menggunakan alternatif sementara HAS bekerjasama dengan GSK untuk menentukan jika sebarang kelompok vaksin Rotarix telah tercemar. Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara yang menggunakan Rotarix supaya “berhati-hati mempertimbangkan manfaatnya untuk terus menggunakannya dalam sebarang keputusan.

Sementara itu, Pengarah Klinikal R & D dan Hal Ehwal Perubatan GSK Malaysia dan Singapura, Dr Teoh Yee Leong, berkata pembuat ubat itu memberikan jaminan kepada HAS bahawa mereka akan “terus berkongsi maklumat dengan HAS apabila ia diperolehi”, kerjasama yang sama seperti itu dilihat tidak dihulurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan kita.

Berdasarkan kepada sikap berdiam diri Lembaga Kawalan Ubatan (DCA) Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini, ia dilihat GSK mempunyai alasan enggan untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung isu kritikal ini kepada Kementerian Kesihatan walaupun sudah 12 hari sejak perkara ini dilaporkan kepada USFDA. Sementara amat bekerjasama dengan HSA Singapura, GSK Malaysia dilihat menyokong sepenuhnya di sebalik Kementerian Kesihatan yang secara terbuka menyarankan penggunaan Rotarix di Malaysia. Kami bimbang jika ini kesnya yang sebenar atau rakyat dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa.

Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat beragama Islam sebagai majoriti seperti negara kita, amat difahami bahawa isu seperti ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif, terutama sekali memandangkan vaksin itu tercemar daripada virus yang berasal daripada babi. Sepertimana yang kita semua tahu, pengambilan babi adalah ‘haram’ atau dilarang kepada orang Islam.

Salah satu rasional saintifik kenapa babi dikategorikan sedemikian oleh Islam memandangkan kepada kehadiran sejenis parasit seperti Taenia solium (pork tapeworm) dan Trichinella spiralis (trichina worm) dan mikroorganisma seperti procine circovirus jenis 1 yang tidak diragui lagi berbahaya kepada kesihatan manusia. Sebab itulah Rotarix yang tercemar dengan PCV1 tidak dapat diterima oleh orang Islam tetapi Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab bukan hanya kepada orang Islam tetapi juga kepada semua rakyat yang beragama lain di negara ini untuk menjelaskan situasi serta mengambil langkah segera untuk menarik balik dan menganalisis kelompok Rotarix yang sedia ada itu tercemar dan mengumumkan amaran di seluruh Negara serta menggantung vaksin itu sehingga ia terbukti selamat.

Kerajaan UAE dan Jordan di mana Islam merupakan majoriti dan agama rasmi telah menjadi contoh dalam tindak balas mereka yang proaktif dan segera terhadap ancaman pencemaran Rotarix. Mereka telah menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab kepada warganegara mereka memandangkan kepada keadaan ancaman iaitu membahayakan kesihatan serta mempunyai kaitan dengan agama dan mereka telah mengumumkan keputusan mereka untuk khalayak ramai.

Sama ada GSK Malaysia telah memberikan amaran atau tidak kepada Kementerian Kesihatan, kami mempersoalkan kenapa Kementerian Kesihatan masih belum mengisytiharkan amaran ke seluruh negara dan menggantung vaksin Rotarix sekarang dan menjalankan ujian keselamatan yang ketat ke atas kelompok Rotarix yang sedia ada.

Apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberitahu dan menyakinkan rakyat terhadap keselamatan anak-anak mereka? Apakah yang menghalang Kementerian Kesihatan daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat? Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika kepercayaan agama dan kesihatan mereka mungkin dikompromikan.

CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung dengan situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.....HarakahDaily

Konsert Jom Heboh di Kelantan cipta sejarah

Pagar yang memisahkan antara penonton lelaki (kanan) dan wanita (kiri).


KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.

Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.

Sambil melahirkan rasa kagumnya di atas sambutan amat menggalakkan Ahmad Farid secara jujur mengakui Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya bagi penganjuran program Jom Heboh selama dua hari.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan Insya-Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, pihak penganjur tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan melibatkan artis wanita.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. kita akur akan syarat dikenakan.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka di bahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.

Antara artis yang mengadakan persembahan malam tadi termasuk Kumpulan Raihan, Yassin (bekas anggota kumpulan nasyid Brothersa), Jamal Abdillah, Jay Jay dan artis dikir barat tersohor negeri ini, Megat Nordin.

Konsert Jom Heboh TV3 yang berjaya dianjurkan buat pertama kali di Kelantan.

Konsert Jom Heboh di Kota Bharu berjaya mengasingkan antara penonton lelaki dan wanita serta pasangan berkeluarga.

sebahagian penonton wanita yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh TV3.

Sebahagian daripada puluhan ribu penonton yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk menyaksikan Konsert Jom Heboh dari dekat.

Kawasan yang dikhaskan untuk pasangan keluarga.



info...: www.bbckelantan.com

Sabtu, Mac 27, 2010

Tuan Guru ke Karnival Jom Heboh TV3


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini diiringi exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, YB Dato' Hj. Takiyuddin Hassan serta exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, YB Hj. Abdul Fattah Mahmood telah datang ke Karnival Jom Heboh TV3, perkarangan Stad. Sultan Muhd Ke-IV.

MB serta Exco telah melawat gerai-gerai ditapak Karnival Jom Heboh TV3, turut dilawati khemah Kerajaan Negeri Kelantan

Karnival Jom Heboh TV3 yang bermula 26 Mac, Jumaat dan berakhir hari ini mendapat sambutan hangat segala lapisan masyarakat dari pelusuk Kelantan,pelbagai acara menarik menanti anda semua dan bagi khemah Kerajaan Negeri Kelantan disediakan permainan "Cabaran Counter Strike" berserta hadiah-hadiah menarik menanti anda untuk dimenangi


oleh: myktv (KelantanTV GROUP)

Jumaat, Mac 26, 2010

Tengku Abdul Aziz dilucut jawatan YDP Majlis Perajaan Negeri

KOTA BHARU, 26 Mac: Kemelut istana Kelantan terus meruncing apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra mengumumkan Tengku Sri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Hamzah dilucutkan jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) berkuat kuasa semalam, 25 Mac 2010.

Menurut perisytiharan yang dibacakan oleh Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias hari ini berkata, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj dilantik sebagai Yang DiPertua MPN yang baru.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Hamzah (Tengku Sri Utama Raja) dibatalkan perlantikan dan dilepaskan daripada menjadi Yang Di Pertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa 25 Mac 2010.

"Saya juga ingin memaklumkan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah mengampuni perkenan dan melantik Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-Haj (Tengku Laksamana Kelantan) sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa 25 Mac 2010," katanya sebentar tadi.

Pada sidang media sama beliau juga turut menjelaskan, majlis penganugerahan pingat kebesaran negeri pada 30 Mac ini tiada kaitan dengan sambutan hari keputeraan raja Kelantan.

Menjelas lanjut beliau berkata, ianya dibuat berdasarkan undang-undang tubuh negeri mengikut peruntukan perkara 43 (1).

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud mengumumkan Sultan Kelantan melucutkan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan diganti YDP MPN, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah.

Bagaimanapun Setiausaha MPN, Datuk Mohd Aiseri Alias semalam berkata, perlucutan kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra adalah tidak sah kerana didakwa tidak mewakli keputusan MPN.

Kata beliau, Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu, katanya, Tengku Faris kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan...harakahdaily

Dr Zainal Abidin Hulu Selangor meninggal


Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia jam 9.30 malam ini selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.

Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi.

Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari.

Harakahdaily

Khamis, Mac 25, 2010

Pengguguran Tengku Faris tidak sah - Setiausaha MPN


KOTA BHARU, 25 Mac: Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, pengisytiharan yang dibuat Datuk Wan Hashim Wan Daud yang melucut kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra (gambar) adalah tidak sah.

“Saya merujuk kepada salinan perisytiharan yang dibuat oleh YB Mulia Tengku Seri Utama Raja, selaku pengerusi Majlis Perajaan Negeri dan Wan Hashim bertarikh 24 Mac yang menamatkan pelantikan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja adalah sama sekali tidak mewakli keputusan Majlis Perajaan Negeri,” katanya kepada media di sini petang ini.

Kata beliau Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu katanya, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri telah bertindak secara bersendirian tanpa memanggil anggota-anggota Majlis Perajaan Negeri bersidang.

“Ini jelas bahawa tindakan di atas adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang tersebut dan ia tidak terpakai,” katanya ketika menunggu keberangkatan pulang Tengku Muhammad Faris Petra di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini.

Pagi tadi Wan Hashim yang mendakwa sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan mengumumkan Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan daripada jawatan sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa hari ini. Beliau digantikan oleh Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Hamzah iaitu bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan.

Sedangkan semalam Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad menjelaskan hanya Pemangku Raja dan Majlis Perajaan Negeri mempunyai kuasa sekarang memandangkan Sultan Kelantan masih gering.

Mohd Aiseri yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) berkata, Pemangku Raja dilantik di atas sebab Sultan gering dan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri.

Mengikut Perkara 22A(1)(b) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Kedua, maka Pemangku Raja akan terus menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehinga Majlis Perajaan Negeri membuat keputusan seterusnya berdasarkan undang-undang.

Mohd Aiseri juga berkata, majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan tetap akan diadakan di Balai Besar pada 30 Mac ini.

"Malam ini akan diadakan solat hajat di Masjid Muhammadi yang dijangka dihadiri pemimpin kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri berdiri teguh di belakang Pemangku Raja berdasar kepada peruntukan undang-undang.

Ditanya cadangan Kelab Penyokong Kerajaan Negeri supaya diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi menyelesaikan konflik membabitkan istana, katanya ia dianggap tidak perlu buat masa ini kerana undang-undang yang ada sudah cukup jelas.

Pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir Negeri, Shafei Ismail berkata, persatuan berkenaan tetap dengan berpendirian awal mendokong Pemangku Raja berdasar kepada undang-undang.

harakahdaily

Jom Heboh di Kelantan tampil kelainan

Program Jom Heboh pertama sedia tapak solat berjemaah

KOTA BHARU, 25 Mac – Program Karnival Jom Heboh yang dijadualkan di Kelantan bermula esok hingga Sabtu mendapat jaminan daripada penganjur untuk mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, pihak penganjur bersetuju untuk mematuhi peraturan yang selari dengan dasar kerajaan negeri antaranya pemisahan tempat duduk antara penonton lelaki dan wanita dan tiada penampilan artis wanita.

Antara kelainan ditampilkan kata Takiyuddin, pihak penganjur turut menyediakan khemah besar sebagai tapak tempat menunaikan solat fardhu secara berjemaah.

Sebagai rekod, Kelantan dipilih negeri pertama penganjuran Jom Heboh 2010 selepas pelancaran program berkenaan pada 27 dan 28 Februari lepas di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

“Pihak penganjur telah menyatakan komitmen untuk mematuhi dasar hiburan yang digariskan kerajaan negeri di mana Program Jom Heboh di Kelantan ini bakal menjadi model atau contoh kepada program seterusnya di negeri lain.

“Ini menunjukkan tiada sebab untuk kita menghalang mana-mana konsert hiburan asalkan tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi dasar kerajaan negeri Kelantan termasuk program Jom Heboh TV3 yang sebelum ini dikaitkan dengan percampuran bebas dan menampilkan artis yang menjolok mata,” kata Takiyuddin ketika ditemui di Pejabat Menteri Besar, pagi ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan.

Karnival Jom Heboh anjuran TV3 sudah memasuki tahun ke-8 penganjurannya dan telah menarik hampir jutaan pengunjung, tidak kira dari dalam mahupun luar negara.

Bermula dengan Sure Heboh, ia berkembang dari sebuah konsep tapak ekspo/pameran dan gelanggang hiburan sehingga kini, dimana ianya dikenali sebagai Jom Heboh yang cuba menitikberatkan konsep kekeluargaan dan ilmiah.

Untuk tahun 2010 akan memperlihatkan Jom Heboh dengan wadah, improvisasi dan wajah baru. Paling utama ialah mengadakan karnival ini di lokasi-lokasi yang belum pernah dikunjungi – tahun ini, buat pertama kalinya Jom Heboh bertandang ke Kelantan dan selepas ini Terengganu – serta pemfokusan terhadap kekeluargaan dan aktiviti permainan.

Program Jom Heboh di Kelantan akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV, Kota Bharu dengan menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan negeri dan agensinya.

Sebuah khemah besar yang dinamakan sebagai Kota Ilmu disediakan pihak penganjur untuk dijadikan tempat solat berjemaah dan pameran program Jejak Rasul.

Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dijangka akan hadir pada program al-Kuliyyah yang akan disiarkan secara langsung pada petang 26 Mac (esok).

Program dua hari itu bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan terbabit dalam pameran dan aktiviti interaktif iaitu Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Pusat Penerangan Pelancongan...bbckelantan

Rabu, Mac 24, 2010

Majlis Syura PAS akan tentukan siapa Mursyidul Am

KUALA LUMPUR, 24 Mac - Majlis Syura Ulamak PAS bermesyuarat buat pertama kalinya malam tadi untuk sessi baru bagi melantik barisan kepimpinan tertinggi badan yang paling berkuasa dalam PAS itu.

Mesyuarat malam tadi dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pemimpin paling kanan di kalangan anggota yang ada. Mesyuarat tersebut bakal menentukan siapakah pengerusi Majlis Syura Ulama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya serta empat lagi anggota majlis itu.


Mursyidul Am PAS dan timbalannya kini disandang masing-masing oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din.


Mesyuarat malam tadi juga buat pertama kalinya akan mengikut format baru Majlis Syura berdasar pindaan terbaru kepada Perlembagaan PAS.


Melalui pindaan itu, anggota majlis ini adalah empat dipilih oleh Jawatankuasa PAS Pusat, empat dari Dewan Ulamak PAS Pusat dan dua dari setiap dewan iaitu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Mereka pula akan memilih empat lagi anggota tambahan.


Sebelum ini, Majlis Syura hanya terdiri dari 12 anggota iaitu empat dilantik oleh Jawatankuasa PAS Pusat dan empat oleh Dewan Ulamak PAS. Kelapan-lapan mereka pula akan melantik empat lagi anggota serta Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am.


Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini telah memilih Abdul Hadi bersama dengan timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta AJK Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai wakil mereka ke Majlis Syura.


Dewan Ulamak pula telah memilih ketuanya Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naib Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan AJKnya Ustaz Nik Zawawi Salleh sebagai anggota Majlis Syura.


Wakil Dewan Pemuda PAS pula adalah ketuanya, Nasharudin Hassan dan AJKnya Ustaz Zaharudin Mohamad.


Namun begitu, Dewan Muslimat tidak membuat keputusan di kalangan mereka tetapi menyenaraikan lima nama untuk dipilih dua di kalangan mereka oleh mesyuarat Majlis Syura yang pertama malam tadi...

http://www.pas.org.my

Zahrain penipu besar : Ghapur


Ahli parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, yang dinamakan sebagai satu daripada lapan MP yang akan berpaling tadah kepada pembangkang pada 16 Sept membidas Datuk Seri Zahrain Hashim yang didakwa menipu di Dewan Rakyat. Bekas MP PKR yang mengisytiharkan dirinya sebagai ahli bebas itu, minggu lalu mendedahkan bahawa Abdul Ghapur yang mewakili Umno Sabah dinamakan antara kumpulan berkenaan.

Menurut Ghapur, Zahrain telah melakukan satu penipuan besar. Sehubungan itu, beliau mahu ahli parlimen dari Bayan Baru itu segera menarik semula kenyataannya dan menyenaraikan mereka yang dikatakan akan berpaling tadah itu. Abdul Ghapur juga mencabar Zahrain mendedahkan nama 30 MP yang dikatakan akan menyertai ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rancangan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, jika apa yang didakwanya sebelum ini adalah benar. Beliau juga memberi amaran kepada Umno agar tidak menerima Zahrain sebagai ahlinya kerana jika bekas ketua PKR Pulau Pinang itu sanggup berpaling tadah terhadap Anwar, dia juga, katanya, suatu hari nanti akan menikam pemimpin BN juga.

Selain Ghapur (kiri), MP dari Sabah yang dinamakan oleh Zahrain ialah Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar). Nama lain yang disebut ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Zahrain juga mendakwa seorang timbalan speaker juga dikatakan akan menyertai PKR...MalaysiaKini

ADUN BN Titi Tinggi letak jawatan - MalaysiaKini

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi dari MCA, Yip Sun Onn telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat semalam.

Yazid mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam suratnya itu, kata beliau, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta.

"Dalam suratnya, Yip berkata beliau bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat," katanya.

Akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan yang Yip tidak berpuas hati apabila beliau digugur daripada menjadi exco negeri baru-baru ini.

Yip merupakan exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri - memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan - dan satu-satunya exco yang digugur pada 19 Mac lalu.

Temp

atnya digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho. Beliau juga merupakan setiausaha MCA Perlis.

Mengulas lanjut, Yazid berkata kedudukan Yip belum diputuskan lagi "dan masih dalam pertimbangan saya".

"Kita minta beliau bertenang dan memikirnya semula (keputusannya itu)," tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya kecil di DUN Titi Tinggi, Yazid berkata: "Saya tak mahu kata apa, terserahlah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya). SPR yang akan tentukan," katanya

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu, dilapor mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, Md Isa berkata pihaknya sedang merayu Yip untuk menarik balik hasratnya itu dan yakin pilihan raya kecil tidak perlu diadakan...MalaysiaKini

'Pejuang Melayu tulen ada saham judi' :Saifuddin - Malaysiakini


Ahli parlimen Machang Saifuddin Nasution memohon kerajaan menjelaskan kelulusan lesen judi yang diberikan kepada sebuah syarikat yang dikuasai Tan Sri Vincent Tan.
Berucap ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin (kiri) turut mengaitkan MP Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang didakwa turut mempunyai saham dalam syarikat berkenaan. "Pasir Mas, pejuang tulen pun ada saham juga, itulah wajah sebenar pejuang Melayu. Untuk itu kita minta kementerian kewangan jelaskan perkara berkenaan," dakwanya lagi. Tambahnya, syarikat yang dinamakan Ascot Sports itu diberikan ruang sehingga 20 tahun untuk menjalankan perniagaan pertaruhan. Jelasnya, perniagaan itu membabitkan pertaruhan untuk lumba kuda, bola sepak dan sukan-sukan lain.
"Syarikat ini membayar yuran operasi sebanyak 20 juta kepada kerajaan dalam urusniaga sebesar RM1bilion. "Sudah tentulah lesen ini diberikan oleh menteri kewangan, saya difahamkan menteri kewangan dan perdana menteri sebelum Abdullah Badawi mengambil alih kuasa. "Menteri kewangan ini adalah presiden Umno, Umno ialah parti agama bangsa dan negara," katanya lagi. Tambahnya, maklumat tersebut diperolehinya melalui buku tulisan Barry Wain berjudul Malaysian Maverick yang setakat ini masih dalam penilaian oleh kerajaan.MalaysiaKini

Semangat keusahawanan di Kelantan tinggi


Gambar Mohd Roslan


KOTA BHARU, 23 Mac: Kelantan sedang melangkah maju dalam bidang berasaskan ICT dan multimedia memandangkan semangat keusahawanan rakyatnya tinggi.

Oleh itu, pengerusi Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mempertingkatkan kemudahan infrastruktur ICT negeri.

“Di samping itu menyediakan insentif yang bersesuaian sebagai pemangkin kepada usahawan-usahawan tempatan.

”Usahawan-usahawan di sini hendaklah mengambil peluang untuk terus maju dan berdaya saing secara sihat dalam era teknologi maklumat,” katanya pada majlis penyerahan sijil status MCS Malaysia Inkubator kepda ICT Incubator Centre Sdn Bhd di Kelantan Trade Centre hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota Exco, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Mohd Sabri Abdullah.

Abdul Halim yang juga bekas Ketua Setiuasaha Negara berkata, MDeC mencetus dan merangka pelbagai program bagi memberi kesedaran untuk menarik lebih ramai penyertaan rakyat Malaysia menceburi bidang ICT dan multimedia.

Katanya, sejak 2008 program-program bagi melahirkan lebih ramai usahawan ICT dijalankan di Kelantan antaranya ‘Technopreneur Academy Program’ dan ‘Idea Refinement Program’

“Hari ini hasil daripada program yang dilaksanakan telah lahir beberapa usahawan baru dalam bidang ICT dan Multimedia.

”Terdapat juga beberapa usahawan berjaya mendapat dana MSC Malaysia bagi membangunkan idea perniagaan ICT dan multimedia mereka.



“Di mana tahun lepas dua usahawan ICT dari negeri ini berjaya memperolehi dana bernilai RM150,000 setiap projek untuk membangunkan idea perniagaan ICT dan multimedia,” katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri melalui PKINK dalam usaha menjenamakan semula bangunan KB Bazar bagi menjadikan sebagai sebuah pusat ICT yang terkenal di negara ini.

Katanya, pada masa ini beberapa syarikat IT sudah beroperasi di KB Bazar termasuk syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan iaitu Darul Digital.

”Saya menaruh harapan tinggi dengan adanya syarikat-syarikat IT milik swasta dan kerajaan, ia akan menjadi pelengkap kepada Pusat Inkubator ICT yang baru ditubuhkan ini.

”Saya berkeyakinan usaha PKINK akan berjaya dengan sokongan dan bantuan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, penjenamaan tersebut bakal merubah wajah dan nama KB Bazar kepada Kota Bharu Siber Plaza apabila segala prasarana Pusat Inkubator ICT siap dan beroperasi sepenuhnya.

Di samping itu, penglibatan beberapa syarikat industri komputer yang akan membuka operasi di Kota Bharu Siber Plaza dalam jangka masa terdekat.

Beliau juga berkata, menjadi dasar kerajaan negeri untuk menyokong dan menggalakkan pertumbuhan industri ICT dan multimedia kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan minda, akhlak, ekonomi dan sakhsiah demi pembangunan ummah.

Rizal Tahir

Harakahdaily

Sabtu, Mac 13, 2010

Datuk Seri Anwar Ibrahim - Prestasi empat negeri Pakatan lebih baik daripada BN









SEBERANG JAYA, 13 Mac: Rakyat digesa memandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat untuk memajukan negara kerana empat buah negeri yang diterajui selepas menang pada pilihan raya umum lalu menunjukkan prestasi dan mampu melakukan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, BN nampak sahaja selesa mentadbir tetapi sebaliknya diseliputi keresahan dalaman apabila berbagai isu melanda.

"Rakyat kena pandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat, usah lagi bersama BN yang nyata lemah dalam pentadbiran. Nampak saja selesa tapi penuh dengan resah dan musibah, " terangnya dengan diiringi laungan reformasi dan Allahu Akbar.

Menurutnya, pilihan raya umum yang dijangkakan berlaku dua tahun lagi memerlukan perubahan yang lebih luas supaya Pakatan Rakyat tidak lagi menjadi pembangkang.

Namun, katanya bagi memastikan kuasa BN mantap, mereka akan berusaha melaksanakan program pendekatan seiras dengan apa yang dibuat menerusi Pakatan Rakyat kerana pendekatan BN yang lalu tidak lagi releven dan menjadi bahan ditertawakan rakyat.

Sehubungan itu, tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, BN sepatutnya akur dengan kehendak rakyat yang telah menyatakan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat di setiap pilihanr aya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009.

"Prestasi Pakatan Rakyat memang tinggi pada masa ini manakala nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini menjunam teruk. Itulah yang menggerunkan Umno dan BN, " jelasnya.

Justeru, beliau meminta rakyat melihat apa yang terjadi kepada kes Altantuya, pembelian kapal selam, kehilangan enjin jet, gejala rasuah, masalah dadah, moral remaja dan seumpamanya yang semua tidak dapat diselesaikan oleh pemerintahan BN.

Menurutnya, kepimpinan BN yang ada hanya pandai bercakap tetapi tidak pula bijak bagi menanganinya dengan baik kerana mereka lebih gemar bersandiwara, suka menipu dan bercakap bohong.

“Maka, rakyat yang mempunyai kuasa mutlak kena bekerja untuk menghindarkan BN daripada terus menjahanamkan negara ini.

"Jika rakyat tidak mahu melihat negara ini hancur ekoran ketidakcekapan pemerintahan, tiada jalan lain mereka hanya perlu memangkah parti dalam gabungan Pakatan Rakyat di samping berdoa mengikut agama masing-masing. Mudah-mudahan apa yang terjadi dapat diselamatkan," katanya lagi.

SEBERANG JAYA, 13 Mac: Rakyat digesa memandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat untuk memajukan negara kerana empat buah negeri yang diterajui selepas menang pada pilihan raya umum lalu menunjukkan prestasi dan mampu melakukan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, BN nampak sahaja selesa mentadbir tetapi sebaliknya diseliputi keresahan dalaman apabila berbagai isu melanda.

"Rakyat kena pandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat, usah lagi bersama BN yang nyata lemah dalam pentadbiran. Nampak saja selesa tapi penuh dengan resah dan musibah, " terangnya dengan diiringi laungan reformasi dan Allahu Akbar.

Menurutnya, pilihan raya umum yang dijangkakan berlaku dua tahun lagi memerlukan perubahan yang lebih luas supaya Pakatan Rakyat tidak lagi menjadi pembangkang.

Namun, katanya bagi memastikan kuasa BN mantap, mereka akan berusaha melaksanakan program pendekatan seiras dengan apa yang dibuat menerusi Pakatan Rakyat kerana pendekatan BN yang lalu tidak lagi releven dan menjadi bahan ditertawakan rakyat.

Sehubungan itu, tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, BN sepatutnya akur dengan kehendak rakyat yang telah menyatakan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat di setiap pilihanr aya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009.

"Prestasi Pakatan Rakyat memang tinggi pada masa ini manakala nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini menjunam teruk. Itulah yang menggerunkan Umno dan BN, " jelasnya.

Justeru, beliau meminta rakyat melihat apa yang terjadi kepada kes Altantuya, pembelian kapal selam, kehilangan enjin jet, gejala rasuah, masalah dadah, moral remaja dan seumpamanya yang semua tidak dapat diselesaikan oleh pemerintahan BN.

Menurutnya, kepimpinan BN yang ada hanya pandai bercakap tetapi tidak pula bijak bagi menanganinya dengan baik kerana mereka lebih gemar bersandiwara, suka menipu dan bercakap bohong.

“Maka, rakyat yang mempunyai kuasa mutlak kena bekerja untuk menghindarkan BN daripada terus menjahanamkan negara ini.

"Jika rakyat tidak mahu melihat negara ini hancur ekoran ketidakcekapan pemerintahan, tiada jalan lain mereka hanya perlu memangkah parti dalam gabungan Pakatan Rakyat di samping berdoa mengikut agama masing-masing. Mudah-mudahan apa yang terjadi dapat diselamatkan," katanya lagi. ...HarakahDaily

Jumaat, Mac 12, 2010

Ibrahim Ali pernah jadi pengarah syarikat Vincent Tan - Malaysiakini


Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim hanya mentertawakan tuduhan yang mempersoalkan kewibawaannya sebagai aktivis Melayu ekoran kaitannya dengan jutaan Cina, Tan Sri Vincent Tan. Tuduhan itu tersebar di internet empat hari selepas beliau mengecam tokoh-tokoh korporat Cina, termasuk Tan Sri Vincent Tan, yang digelarnya 'tauke' dan "mendominasi" ekonomi dan seterusnya menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik dan sosial. Bagaimanapun, tersebar laporan di internet yang menunjukkan hubungan Ibrahim dengan syarikat Dunham-Bush Malaysia, yang pernah dimiliki Tan. Penulis blog Raja Petra Kamaruddin menyiarkan dalam lamanwebnya Malaysia-Today, salinan laporan tahunan 2003 syarikat berkenaan yang menunjukkan Ibrahim adalah salah seorang anggota lembaga pengarahnya.
Ketika menjawab SMS dari Malaysiakini, Ibrahim berkata tidak ada salahnya urusan perniagaannya dengan Tan kerana ia tidak menolak hakikat bahawa tokoh-tokoh besar perniagaan Cina mendominasi bidang ekonomi. Sebaliknya, kata Ibrahim, beliau bercakap mengenai ekonomi makro dan isu-isu dalam gambaran lebih besar. Beliau bertanya apakah masalahnya jika beliau berurusan perniagaan dengan ramai rakan-rakan Cina dan mempunyai rakan kongsi Cina.....Malaysiakini

MB, Exco, pegawai basah kuyup ketika solat istisqa






















KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.

Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.

Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.








Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.

M Faqih HarakahDaily

Gambar by Mohd Roslan Mohd Zain

Rabu, Mac 10, 2010

Tahan Mazlan: PAS Pahang kaji ambil tindakan undang-undang

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS negeri sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan pihak polis berhubung penahanan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman semalam.

“PAS Pahang sedang meneliti penahanan Mazlan. Kita juga sedang berbincang dengan pasukan perundangan kita untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyaman pihak terbabit,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurut Tuan Ibrahim, penahanan Mazlan merupakan tragedi amat malang kepada demokrasi dan merupakan pencabulan undang-undang yang amat ketara dilakukan pihak keselamatan.

“Penahanan Mazlan merupakan pencabulan undang-undang terhadap kebebasan bersuara dalam negara yang Umno sendiri dakwa mengamalkan demokrasi yang bebas.

Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak), ditahan polis Pahang di Raub tengah malam tadi dipercayai berkaitan dengan dialog bersama peneroka Felda Lembah Klau, yang menyentuh pengurusan Felda.

Mazlan sebelum ini mengetuai deligasi 200 peneroka tanah rancangan Felda dari Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkenaan beberapa perlanggaran hak asasi dan ketidakadilan pengerusan Felda ke atas peneroka setelah lebih 50 tahun ia diwujudkan.

Harakahdaily masih dalam usaha menghubungi Mazlan tetapi belum dapat bercakap dengannya kerana dipercayai masih ditahan di ibu Pejabat Polis Daerah Raub.HarakahDaily

PAS Wilayah kesal dengan tindakan agresif Polis

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan tindakan agresif dan biadap pihak polis yang menggempur Majlis Sambutan Ulangtahun Pakatan Rakyat WP yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada hari Ahad 7 Mac 2010 lalu.

Tindakan phak polis yang hadir bersama ratusan anggota FRU dan dua trak meriam air bukan sahaja memberi mesej yang sangat negatif terhadap amalan demokrasi di negara ini, malah ia mencabul hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Alasan yang diberikan oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Abdul Aziz Zakaria bahawa pihak penganjur tidak mendapat permit adalah alasan lapuk yang sangat dangkal dan tidak berasas sama sekali. Ini kerana majlis sambutan tersebut diadakan di dalam premis persendirian milik Kerajaan Negeri Selangor dan bukannya dibuat di tempat awam yang terbuka. Mahkamah Tinggi Kuantan dalam satu kes yang melibatkan pimpinan PAS baru-baru ini telah memutuskan bahawa sebarang program yang dibuat di dalam premis persendirian tidak memerlukan penganjur mendapatkan permit polis. Apatah lagi program sambutan yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu adalah satu perhimpunan secara aman yang dimulakan dengan majlis jamuan rakyat dan diikuti dengan ucapan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Tidak ada langsung unsur-unsur kekacauan dan trafik berjalan dengan sangat lancar sehinggalah kehadiran pihak polis dan FRU yang bertindak ganas dan biadap dengan membelasah beberapa orang penyokong Pakatan Rakyat sehingga mengalami kecederaan yang teruk.


PAS Wilayah Persekutuan melihat tindakan kasar pihak polis tersebut tidak langsung mengubah persepsi negatif rakyat terhadap polis. Mengapa perlu ratusan pihak polis dikerahkan semata-mata untuk mengadakan sekatan jalanraya dan mengawal setiap kali program anjuran Pakatan Rakyat, sedangkan kadar jenayah di Kuala Lumpur semakin bertambah setiap hari. Adakah program anjuran Pakatan Rakyat kini dianggap lebih merbahaya dari kes-kes jenayah ragut, rompak, rogol, bunuh, dadah, curi dan sebagainya yang sepatutnya memerlukan tindakan dan pemantau pihak polis. Jelas sekali slogan "rakyat didahulukan" hanyalah merupakan retorik kosong kerajaan semata-mata.


Apa yang menghairankan rakyat ialah dalam himpunan yang dibuat oleh Pemuda UMNO di hadapan Kedutaan Australia dan perarakan serta demonstrasi haram yang dibuat oleh sebuah NGO di Pulau Pinang baru-baru ini, mereka tidak langsung "dijentik" oleh pihak polis. Malah tidak kelihatan pun trak-trak meriam air ataupun tembakan gas pemedih mata kepada peserta himpunan haram tersebut walaupun peserta-peserta bertindak liar dengan melakukan pembakaran di atas jalan raya dan membuat ucapan-ucapan yang berbau hasutan dan perkauman.


Apakah terdapat dua set undang-undang yang berbeza di negara ini? Bilamana ia dianjurkan oleh Pakatan Rakyat, maka undang-undang yang ketat dan disusuli dengan tindakan yang keras dan ganas akan digunakan. Sebaliknya, jika ia dianjurkan oleh pihak yang pro-kerajaan, maka secara automatiknya pelaksanaan undang-undang tadi tidak lagi menjadi penting dan dibiarkan sahaja oleh pihak kerajaan dan polis. Amalan "double standard" yang tidak adil dan tidak bertamadun seperti inilah yang akan membuatkan rakyat semakin bersimpati dan memberikan sokongan yang berterusan kepada Pakatan Rakyat.

AHMAD ZAMRI B. ASA'AD KHUZAIMI
Penasihat Undang-Undang PAS Wilayah Persekutuan
Ketua Penerangan PAS Titiwangsa