Halaman

WebTV PAS

KELANTAN TV (LIVE)

Jadual Siaran LIVE Tetap KELANTAN TV www.mykelantan.tv
Kuliah Jumaat
Setiap hari Jumaat
Bermula pukul 8.30 pagi - 10.30 pagi

Selasa, Disember 06, 2011

Kontrak Alstom: Bekas MB Perlis nafi terima habuan RM25 juta



KUALA LUMPUR, 6 Dis — Meskipun adanya hasil siasatan terperinci oleh pihak berkuasa Switzerland, veteran Umno Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh menafikan pernah menerima habusan daripada syarikat gergasi kejuruteraan Perancis Alstom yang memperoleh kontrak membina loji jana kuasa di Perlis lebih dua dekad lalu.

Bekas menteri besar Perlis dan bekas Speaker Dewan Negara ini berkata demikian dalam reaksinya berhubung laporan Straits Times Singapura bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggeledah pejabat Teknologi Tenaga Perlis Consortium (TTPC), yang sebahagiannya dimiliki oleh beliau.

Semalam, akhbar itu melaporkan bahawa veteran Umno berkenaan secara langsung dikaitkan dalam dakwaan rasuah Alstom dalam memperoleh kontrak berkenaan.

“Saya ingin mengatakan bahawa dakwaan yang terdapat dalam laporan itu tidak berasas sama sekali dan berniat jahat,” kata Abdul Hamid (gambar) dalam kenyataan dihantar kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Kata beliau, lembaga pengarah syarikat termasuk Ti Chee Liang yang dinamakan dalam kertas mahkamah Switzerland tidak menerima 7.5 juta franc Swiss (RM25.5 juta) untuk membantu Alstom Malaysia mendapatkan kontrak membina loji jana kuasa di Perlis akhir 1990-an.

“Saya mengesahkan tidak ada sebarang wang diterima oleh ahli lembaga pengarah termasuk saya,” kata veteran Umno ini.

Abdul Hamid menjelaskan bahawa keputusan untuk menganugerahkan kontrak adalah sebulat suara dan kontrak telah diberikan pada 30 November 1999 kepada ABB ketika beliau merupakan lembaga pengerusi. ABB kemudian dibeli oleh Alstom.

Beliau merupakan menteri besar Perlis antara 1986 dan 1995 sebelum dilantik sebagai pengerusi TTPC dari 1996 hingga 2005.

Abdul Hamid memberitahu bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai siasatan ke atas Alstom Malaysia oleh pihak berkuasa Switzerland.

“Sehingga hari ini, saya tidak dimaklum atau dipanggil oleh mereka untuk memberi apa-apa keterangan atau menyediakan sebarang butiran, saya terkejut pihak berkuasa Switzerland menuduh saya dan Ti mengenai salah laku, kewangan atau sebagainya.

“Oleh itu, saya teleh mengarahkan peguam di Switzerland untuk memulakan prosiding membersihkan nama saya,” kata beliau sambil menambah, “saya mengalu-alukan sebarang siasatan berkenaan dakwaan tidak berasas ini.


The Malaysian Insider

Siang menjerit bela Melayu, malam gadai tanah



Umno berjaya mengalih isu kegagalan mereka selama ini membela Melayu di negara ini, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

“Sebaliknya peluru dihalakan kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP yang dianggap menyebabkan orang Melayu tinggal terkebelakang,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Persidangan Agung Umno telah menjadi pesta memaki hamun terhadap pimpinan Pakatan Rakyat supaya perwakilan tidak membincang masalah cincin RM24 juta, projek lembu RM250 juta kepada suami Shahrizat, masalah Datin Seri Rosmah dan kepincangan Laporan Audit Negara.

“Semua isu ini berjaya didiamkan apabila perwakilan dicandukan dengan serangan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurutnya, bermula daripada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri umno sehinggalah kepada perbahasan perwakilan semuanya membelasah Pakatan Rakyat.

Beliau menambah, mereka memahami bahawa Umno perlukan undi Melayu sahaja, undi bukan Melayu mereka tidak mengharapkan lagi.

Katanya, Persidangan Agung Umno cuba memutar belitkan fakta kononnya Melayu ketinggalan semuanya angkara DAP.

Persoalannya, kata beliau DAP baru sahaja memerintah Pulau Pinang pada 8 Mac 2008, siapa yang memerintah Pulau Pinang selama ini.

Tambahnya, tindakan Umno menjerit orang lain yang mengkhianat orang Melayu seperti pencuri menjerit pencuri.

Justeru, beliau menyenaraikan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu sebagai ‘tazkirah’ untuk pimpinan Umno yang mudah lupa.

Soalnya, siapa yang menghalau orang Melayu di di Kampung Plentong Tengah Johor Baharu hampir 290 buah rumah yang ditolak dan dihalau pada 16 Oktober 2009.

Tambahnya, diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan seperti menyekat 118 projek di Kelantan sejak 1991 (Rancangan Malaysia Ke-6), merompak royalti minyak di Terengganu dan Kelantan sedangkan rakyat negeri itu majoriti Melayu.

“Siapa yang bertanggungjawab melesap saham Bumiputera daripada RM52 bilion (1984), hanya tinggal RM2 bilion (2005)?

“Siapa yang pernah menjual Syarikat Bernas (Syarikat Beras Negara) dijual kepada syarikat Hong Kong Wan Tak Co. Ltd sebanyak 31.36%?” tanya beliau.

Umno, ujarnya melesap wang PPRT sebanyak RM32 bilion di mana menterinya ketika itu, Datuk Annuar Musa daripada umno.

Umno juga, katanya mengkhianati kepada pendidikan orang Melayu kerana mengajar Metematik dan Sains dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003.

Menurutnya, wang rakyat hangus hampir RM5 bilion dan siapa yang menggadai tanah rezab Melayu dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995).

Katanya lagi, siapa yang bertanggungjawab terhadap 26,000 hektar tanah rezab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Piai Johor diambil untuk New Town Ship,rojek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM.

Beliau berkata, seluas 200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong (sekarang YTL digadai oleh pemimpin umno kepada YTL), tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Highway.

“Ini hanya beberapa contoh sahaja, pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin hipokrit yang menjerit bela Melayu di siang hari di PWTC, tetapi di malam hari merekalah yang berunding menggadai tanah Melayu.

Umno, MCA bersekongkol hina hukum Islam

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa kecewa kerana Umno sanggup menjadikan pentas forum untuk bersekongkol dengan MCA bagi memburukkan Islam dan PAS.

Bahkan dalam forum tersebut yang dianjurkan oleh Institut Analisis Strategik dan Penyeldidikan Dasar (INSAP) semalam, wakil Umno turut ‘tumpang sekaki’ membelasah hukum Islam itu.

“DPP Malaysia khuatir, aqidah beliau dan Umno akan rosak kerana membiarkan agama Islam diperlekeh oleh mereka yang memusuhi Islam,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss kepada Harakahdaily.

DPP Malaysia, katanya tidak sangka wakil Umno iaitu Mohd Kamal Sadin tanpa segan silu mempertikai hukum Allah dan mendakwa hukum Hudud yang digubal oleh kerajaan negeri Kelantan adalah bertentangan dengan hukum Allah.

Jika demikian, ujarnya DPP Malaysia ingin bertanya apakah hukum hudud yang mengikut syariat Islam yang sebenarnya.

“Kemukakan dalil, bukti serta nas yang berkaitan sebagai panduan kepada PAS dan umat Islam mengenai hukum Islam yang sebenar,” katanya.

Tegasnya, DPP Malaysia mencabar Umno untuk kemukakan hukum hudud dengan versi Islam ala- Umno.

“Tunjukkan kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam, hukum hudud yang manakah paling menepati syariat Islam untuk PAS dan negeri Kelantan contohi jika hukum hudud yang dibawa oleh Kelantan tidak menepati syariat Islam?” katanya.

Tambahnya, DPP Malaysia percaya kepimpinan dan ahli PAS bahkan seluruh umat Islam di Malaysia ternanti-nanti apakah hukum Islam yang sebenarnya yang akan dibawa oleh Umno, itupun jika mereka masih berfikir mahu melaksanakan Islam.

Namun sehingga ke hari ini, ujarnya tiada usaha sedikitpun oleh Umno untuk melaksanakan hukum Islam, kerana itulah mereka membiarkan sahaja hukum hudud dipersenda.

Bagi mereka, katanya hudud adalah perkara kecil yang tidak penting kepada umat Islam sedangkan hudud yang difahami oleh semua umat Islam, adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan.

“Ia adalah penawar kepada penyakit masyarakat dan ubat bagi melahirkan masyarakat dan negara yang makmur dan diberkati,” katanya.

Beliau berkata, DPP Malaysia memohon campurtangan Majlis Raja-raja bagi mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menghina agama Islam.

Katanya, sebagai payung negara dan umat Islam di negara ini, Majlis Raja-raja berhak campurtangan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Selain itu, katanya DPP Malaysia mengharapkan agar umat Islam membuka mata melihat segala kemungkaran yang dilakukan oleh Umno.

Soalnya, apakah ada harapan buat umat Islam di negara ini bernaung di bawah kepemimpinan Umno jika mereka sendiri tiada niat untuk melaksanakan Islam.

“Jika mereka ditakdirkan memerintah buat seribu tahun lagi, Islam tetap bukan pilihan bagi Umno, kerana Islam bukan matlamat perjuangan mereka,” katanya.

Harakahdaily

Isu Air - Penduduk kesal laporan Utusan



RANTAU PANJANG, 5 Dis:
“Kami tidak ada masalah untuk mendapatkan air bersih. Tidak pula berlaku ada kekuningan seperti disebut dalam sebuah akhbar.

”Bekalan air yang disalur Air Kelantan Sdn Bhd tidak bermasalah, kalau setahun mungkin ada sekali dua terputus bekalan sekejap,” kata pekerja sebuah restoran di kawasan bebas cukai di sini.

Seorang peniaga, Wan Hanafi Wan Jaafar, 48 melahirkan rasa kesal terhadap laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa air dibekalkan AKSB berkarat dan berbau.

”Saya hendak tanya sumber air yang didakwa itu diambil dari punca mana. Kalau air AKSB tidak berlaku apa yang didakwa tersebut.

”Lainlah kalau mendapat sumber air dari telaga tiub yang dikorek sendiri. Memang air boring berbau dan berwarna kuning. Kalau air AKSB tidak,” katanya ketika ditemui semalam.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pada laporannya 24 November lalu menggambarkan air dibekalkan kerajaan negeri berkarat dan berbau.

Gambar disiarkan akhbar terbabit menunjukkan seorang surirumah mendakwa terdapat kesan-kesan air berkarat pada jarinya.

Sedangkan sumber air yang diguna itu tidak diceritakan dari punca mana. Berdasar tinjauan air berkarat dan berbau diperolehi sumber air telaga tiub yang dikoret sendiri dan bukan air AKSB.

Laporan Utusan cuba menyembunyikan fakta sebenar. Air boring masih digunakan sebahagian kecil peniaga di Rantau Panjang.

Telaga tiub yang diboring mendapat sumber air dari bawah tanah. Bagaimanapun keadaan rupa bumi pekan Rantau Panjang bekas sawah dan mudah air bertakung menyebabkan sumber air bawah tanah berkarat dan berbau.

Namun berlainan air dibekalkan AKSB kerana disalur dari Loji Rawatan Air Kelar, Pasir Mas.

Pegawai Komunikasi Korporat AKSB, Azahari Ab Rahman berkata, pengguna di Rantau Panjang mendapatkan sumber air dari loji Kelar.

”Air yang dibekalkan AKSB jernih dan tidak berbau. Maklumat seperti disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini tidak betul.

”Tindakan tersebut hanya untuk memburukkan AKSB dan kerajaan negeri semata-mata, sedangkan air berkarat dan berbau diambil penduduk dari punca lain,” katanya.

Penghulu Mukim Bandar Rantau Panjang, Wan Idris Deraman berkata, tidak timbul sama sekali air dibekalkan AKSB berkarat dan berbau seperti dilaporkan sebuah akhbar.

Katanya, air yang didakwa berkarat itu diambil dari telaga tiub yang diboring penduduk dan bukan air milik AKSB.

”Tidak dinafikan masih ada peniaga di pekan Rantau Panjang yang menggunakan air boring biar pun berkarat dan berbau,” katanya.

Kata beliau sekarang sudah ramai penduduk menggunakan air dibekalkan AKSB kerana jauh lebih berkualiti.

Seorang peniaga gerai makanan, Hasnah Ismail, 58 mengakui beliau menggunakan sumber air boring untuk membasuh pinggan mangkuk di gerainya.

Bagaimanapun katanya, air minuman diambil daripada rumahnya.

”Saya bercadang mahu menggunakan sumber air AKSB memandangkan tidak berkarat dan berbau seperti air diboring,” ujarnya.


Harakahdaily

Ahad, Disember 04, 2011

Bung Moktar gesa Shahrizat letak jawatan



Sementara rakan-rakannya menolak daripada menyentuh isu kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) mempertahankan pendiriannya menggesa Ketua Wanita itu meletakkan jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno ini mendakwa isu NFC kini menjadi liabiliti kepada parti. Ahli Parlimen Kinabatangan yang lantang ini juga mengetepikan wujudnya sokongan padu bagi Shahrizat ketika persidangan agung sayap Wanita Rabu lalu.

Katanya: “Kita tidak tahu apa jenis sokongan itu.”

“Ini kerana tiada perwakilan yang dengan jelas menyatakan sokongan, sokongan bagi parti, ya ada, saya tahu,” kata beliau ketika ditemui di sisi Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional ini mengaku isu NFC sudah menjadi liabiliti bagi Umno.

“Saya percaya sebab saya adalah penyokong kuat parti,” katanya.

Kata beliau, meskipun Shahrizat telah menjelaskan ketika perhimpunan tetapi apa yang lebih penting ialah persepsi publik.

“Ini bukan persoalan berkenaan penerangan. Saya fikir beliau sudah beri penjelasan.

“Ini bukan persoalan siapa yang salah. Ia adalah persoalan bagaimana publik menerimanya,” kata Bung Moktar lagi.

Bung Moktar berkata menjelang pilihan raya umum, adalah penting Umno tidak dilemahkan oleh skandal-skandal yang dikaitkan dengan mana-mana individu.

“Jadi, saya sudahkan pun menyatakan pendirian saya. Saya meminta beliau mempertimbangkan (keputusan agar letak jawatan)... disebabkan seorang individu, sebahagian terlibat,” kata beliau lagi.

Pertengahan bulan lalu, Bung Moktar memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri Kabinet yang bertanggungjawab dalam NFC patut meletakkan jawatan.

Perkara itu disebut sekali lalu ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012.

“Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

“Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

“Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil,” katanya.

Ketika itu wakil rakyat tersebut tidak menyatakan nama menteri berkenaan di dalam dewan.

Tetapi kemudian Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Seleweng RM250 juta jumlah kecil bagi Umno


KUALA LUMPUR, Dis 3: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyelewengan melibatkan RM250 juta bagi projek lembu adalah jumlah kecil bagi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana katanya, mereka sudah biasa dengan penyalahgunaan kuasa duit rakyat melibatkan jumlah lebih besar seperti skandal Scorpene, lapor KeadilanDaily.

“Dana 250 juta, itu hanya kecil saja. Skandal Scorpene RM500 juta. Itu baru komisen,” kata Ketua Umum PKR ketika menyampaikan Ceramah Perdana, ‘Malaysia Tanpa Umno’ di Hulu Selangor semalam.

Akhbar Suara Keadilan sebelum ini pernah mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.

Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara-negara dunia ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya ia dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

Dalam ceramah sama, Anwar turut menemplak amalan nepotisme Umno BN yang memberikan pelbagai peruntukan kepada kaum keluarga Menteri dan pimpinan Umno.

“Apa istimewanya anak menteri untuk dapat jawatan tinggi (dalam NFC), ingat dia nak pegang lembu?” kata Anwar merujuk kepada skandal lembu NFC membabitkan peruntukan lebih RM250 juta daripada kerajaan kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

NFC adalah syarikat menternak lembu kebangsaan yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dan menerima RM250 juta daripada kerajaan.

Setakat ini operasinya mengalami kerugian tetapi pada masa sama NFC didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah.

Terbaru, NFC didedahkan membeli kereta Mercedes berharga RM534,622 serta dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya.

HARAKAHDAILY

Polis halang Pak Samad baca puisi di KLCC

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Himpunan aman bacaan puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman di KLCC hari ini dihalang oleh pihak polis.

A Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad yang berucap sebelum memulakan bacaan puisi memberitahu negara ini sudah diselubungi kegelapan demokrasi.

"Perlaksanaan RUU ini jelas mengelapkan demokrasi negara dan kita tidak mahu ia berlaku, kerajaan perlu sedar hak rakyat bukannya menghalang kebebasan rakyat.

"Kita sebagai rakyat mahu berhimpun secara bebas bukannya dihalang mahupun dinafikan hak, kenapa ini perlu berlaku tidakkah kerajaan faham apa itu demokrasi dalam perlembagaan.

"Kembalikan hak rakyat jangan dicuri atau dicabuli kerana kita juga rakyat Malaysia, kerajaan perlu celik mata bukan buta mata dan buta hati," jelasnya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut hadir perhimpunan itu juga berharap agar rakyat bangkit menuntut hak mereka.

"Hak berhimpun ini bukan sahaja tertumpu kepada parti-parti politik sahaja dan semua rakyat perlu mendapatkan hak mereka.

"RUU merampas sepenuhnya apa yang telah kita miliki selama ini, kenapa ia perlu kita lepaskan dan secara jelas kerajaan perlu sedar dan bangkit menentang jangan tidur.

"Saya desak agar pendengaran awam dilakukan terlebih dahulu, dengar apa yang rakyat hendak serta apa jua cadangan barulah kerajaan boleh menilaikannya apa sebenarnya diperlukan bukannya terus menikam hak rakyat.

"Jelas kerajaan mencabul kebebasan demokrasi negara serta merompak hak asasi perlembagaan negara ini," ucap Lim Kit Siang.

Sebelum itu, A.Samad Said sempat membaca beberapa buah puisi dan juga beberapa orang awam turut mengikut serta membaca puisi sebagai tanda sokongan sebelum pihak polis menghalang perhimpunan tersebut.

Lebih kurang 200 orang hadir sebagai tanda sokongan terhadap bantahan RUU Perhimpunan Aman yang telah diluluskan oleh kerajaan dan ia berlaku secara aman tanpa ada sebarang kekacauan.



HARAKAHDAILY