Halaman

WebTV PAS

KELANTAN TV (LIVE)

Jadual Siaran LIVE Tetap KELANTAN TV www.mykelantan.tv
Kuliah Jumaat
Setiap hari Jumaat
Bermula pukul 8.30 pagi - 10.30 pagi

Khamis, April 08, 2010

‘Umno Apco, Apco Umno’ kecohkan Dewan Rakyat!



UMNO seolah-olah tauma dengan gelaran ‘Umno Apco, Apco Umno’ yang dipopularkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar di Dewan Rakyat sejak sesi pagi tadi.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Kuaka Krau Datuk Ismail Mohamad membuat usul menggunakan Aturan Mesyuarat 36(12) mengheret Mahfuz ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Pertikaman lidah di Dewan Rakyat dilihat mulai panas apabila Timbalan Speaker Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyebelahi Ismail dengan tidak terlebih dahulu memberikan justifikasi yang matang pada usul yang dibawa oleh Ismail itu.

Akibatnya, rata-rata Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dilihat bangkit memprotes Dr. Wan Junaidi dengan melalungkan ‘Umno Apco, Apco Umno’ secara terbuka.

Dalam aksi protes itu, Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof turut meminta Dr. Wan Junaidi mengambil tindakan ke atas dirinya sebagaimana yang dikenakan ke atas Mahfuz, kerana menyebut ‘Umno Apco, Apco Umno’ di Dewan Rakyat.

Dr. Wan Junaidi kemudiannya menjelaskan bahawa kenyataan Mahfuz adalah mengelirukan dan membolehkan beliau dirujuk ke jawatankuasa tersebut menggunakan Aturan Mesyuarat 26(1) (P).

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kemudiannya bangkit mempersoal tindakan Dr. Wan Junaidi.

“Adakah menyebut perkataan Umno itu menghinakan, adakah Apco itu suatu najis,” soalnya.

Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar pula menganggap usul tersebut adalah tidak tepat kerana Ismail dan Dr. Wan Junaidi masing-masing tidak menggunakan Aturan Mesyuarat yang sama.

Tidak cukup dengan itu, menurut Kamaruddin, kaedah Speaker membuat keputusan tidak menurut Aturan Mesyuarat.

Ini kerana, menurut beliau, Dewan Rakyat tidak terlebih dahulu diminta membahaskan usul dan menerima usul Ismail itu.

Tanpa memberikan justifikasi yang jelas, Dr. Wan Junaidi tetap bertegas dengan keputusannya, iaitu Mahfuz diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah kemudiannya meminta Dr. Wan Junaidi menjelaskan pula tentang kaedah menggunakan perkataan ‘Umno’ dan ‘Apco’ dengan cara yang betul supaya beliau tidak mengulangi tindakan Mahfuz.

.

Bisa percakapannya seolah-olah membunuh kewarasan Umno!

Wan Dr. Junaidi kemudiannya dilihat seolah-olah terperangkap dengan keputusan yang dibuatnya kerana kedua-dua perkataan yang dianggap sensitif oleh Ahli-ahli Parlimen Umno itu tidak memberikan konotasi yang salah.

Dewan Rakyat kelihatan kembali kecoh dengan laungan ‘Umno Apco, Apco Umno’, hatta Dr. Wan Junaidi terpaksa menangguhkan sidang Dewan Rakyat selama 15 minit.

Dr. Wan Junaidi kemudiannya mengambil ketetapan Dewan Rakyat menggunakan undian suara.

Dewan Rakyat kembali gamat dengan laungan ‘Umno Apco, Apco Umno’ sebagai protes pada ketetapan Dr. Wan Junaidi.

Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz kemudiannya mencelah dengan mengatakan bahawa menyebut kalimah ‘Umno’ dan ‘Apco’ seperti memperbudak-budakkan Umno.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua kemudiannya membuat usul untuk membawa Mohamad ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana menyebut ‘Umno Apco, Apco Umno’ sebagaimana yang dilakukan ke atas Mahfuz, tetapi usul itu diketepikan oleh Dr. Wan Junaidi.

Menurut Dr. Wan Junaidi, kenyataan Mohamad tidak boleh ditafsirkan sama dengan kenyataan Mahfuz.

Tegas Dr. Wan Junaidi lagi, sekiranya sesiapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan ketetapannya, mereka dicabar mempertikai tindakannya menggunakan Aturan Mesyuarat 43.

Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Dr. Rais Yatim kemudiannya mencadangkan Dr. Wan Junaidi menggunakan kuasa muktamadnya berdasarkan Aturan Mesyuarat 90.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution bangkit lalu mempersoal kemampuan Dr. Wan Junaidi kerana soalah-olah mampu membaca apa yang terbuku dalam hati Mahfuz dan Mohamad.

“Mahfuz sebut Apco dan Umno, begitu juga Mohamad, bagaimana Tuan Speaker (Dr. Wan Junaidi) boleh menganggap Mahfuz salah dan Mohamad betul sedangkan kedua-duanya menggunakan perkataan yang sama,” ujarnya.

Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang kemudiannya merumuskan Dr. Wan Junaidi telahpun melakukan kesalahan dalam menggunakan Aturan Mesyuarat.

Ujarnya lagi, Dr. Wan Junaidi dinasihatkan supaya menggugarkan Mahfuz dan Mohamad dari dibicarakan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, seterusnya meneruskan agenda menyuarat.

Sebagai respon pada cadangan Kit Siang itu, Dr. Wan Junaidi bertegas dengan ketetapannya sebelum ini.

Kekecohan dalam Dewan Rakyat mengakibatkan beliau terus menangguhkan mesyuarat secara tiba-tiba tanpa didahulukan dengan suatu usul penangguhan yang disokong oleh Ahli Parlimen.

Namun, beliau kemudiannya mengaku gagal mengawal perasaannya dan menangguhkan sidang dewan sehingga 10 pagi esok mengikut Aturan Mesyuarat yang sepatutnya. -END

http://zainulfaqar.wordpress.com/

Ahad, Mac 28, 2010

Kementerian Kesihatan digesa umum pencemaran Rotarix


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) iaitu virus yang biasanya ditemui dalam babi.

Beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini turut melahirkan rasa amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix.

Ini kerana, katanya vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

CAP amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix, vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.

Kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) – virus yang biasanya ditemui dalam babi.

Rotavirus adalah genus virus RNA dalam keluarga Reoviridae. Ia merupakan penyebab utama cirit birit yang teruk dalam kalangan bayi dan kanak-kanak dan merupakan salah satu daripada beberapa virus yang menyebabkan Rotavirus gastroenteritis, penyakit sederhana hingga ke peringkat yang teruk dengan ciri-ciri muntah, cirit birit berair, demam dan biasanya dikenali sebagai stomach flu, ia tidak mempunyai kaitan dengan selesema. Menjelang usia lima tahun, hampir setiap kanak-kanak di dunia ini dijangkiti dengan rotavirus sekurang-kurangnya sekali.

Bagaimanapun, dengan setiap jangkitan, imuniti akan berkembang dan jangkitan seterusnya. akan menjadi kurang teruk dan orang dewasa jarang terjejas. Terdapat tujuh spesies virus ini yang dirujuk sebagai A, B, C, D, E, F dan G, kesemuanya juga menyebabkan penyakit terhadap binatang lain. Rotavirus A, yang paling biasa menyebabkan lebih daripada 90% daripada jangkitan pada manusia.

Vaksin rotavirus seperti GSK Rotarix sepatutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada rotavirus. Laporan media menjelaskan Rotarix diperbuat daripada rotavirus manusia yang lemah yang dibesarkan di dalam sel hidup. GSK menggunakan sel buah pinggang monyet untuk tujuan ini.

Menurut Dr Margaret Hamburg, Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), cebisan DNA PCV1 ditemui dalam bank sel Glaxo, bermakna ia hadir daripada perkembangan awal vaksin yang pada hakikatnya vaksin sepatutnya hendaklah disteril (bersih dari kuman). Kemungkinan besar GSK tidak menyedari sesuatu yang janggal ini dalam vaksin mereka lama sebelum 2006 apabila mereka menjalankan ujian klinikal ke atas Rotarix untuk kanak-kanak.

Kami mempersoalkan kenapa GSK tidak membuat sebarang usaha untuk mengasingkan dan memusnahkan virus ganas PCV1 dalam pelbagai bahan genetik yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin apabila ia boleh dilihat dengan jelas oleh saintis jika keselamatan diutamakan. Amat mengejutkan sekali apabila GSK membenarkan keadaan berbahaya untuk berterusan sehingga beberapa tahun sehingga ia muncul sebagai pencemar untuk vaksin bagi kanak-kanak semuda seusia enam minggu.

Pada hakikatnya, GSK hanya melaporkan penemuannya sendiri berhubung kehadiran PCV1 dalam Rotarix kepada FDA pada 15 Mac, berdasarkan kepada kerja yang pada asalnya dilakukan oleh pasukan penyelidik akademik. Diikuti oleh ujian susulan yang dijalankan bersama oleh GSK dan FDA mengesahkan penemuan pasukan itu dan mengesahkan komponen viral terdapat sejak peringkat awal perkembangan vaksin termasuk sewaktu ujian klinikal.

Terdapat dakwaan bahawa tiada bukti bahawa terdapat risiko kepada pesakit yang menerima vaksin ini, bagaimanapun FDA pada 22 Mac memutuskan untuk berhati-hati dan mengeluarkan amaran kepada pakar kanak-kanak di seluruh negara di Amerika Syarikat untuk menghentikan memberikan Rotarix kepada pesakit mereka sementara menunggu siasatan yang dijangkakan berakhir dalam masa enam minggu. Pihak FDA juga mengakui sehingga kini virus babi yang khusus ini bukanlah satu-satunya yang mereka fikirkan pembuat vaksin perlu untuk memeriksa produk mereka.

Pada hari ini (27 Mac), Kementerian Kesihatan Emiriyiah Arab Bersatu (UAE) telah mengambil isyarat daripada FDA dan telah mengarahkan pergantungan segera pengimportan, pengedaran dan penjualan Rotarix dan pengharaman sementara penggunaannya untuk kanak-kanak. Jordan melalui Pentadbiran Makanan dan Ubatan juga telah menerima pakai pendirian FDA dengan menggantung semua preskripsi Rotarix memandangkan mereka bimbangkan risiko kesan sampingan yang tidak diketahui daripada PCV1.

Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah meminta doktor menangguhkan vaksinasi Rotarix atau menggunakan alternatif sementara HAS bekerjasama dengan GSK untuk menentukan jika sebarang kelompok vaksin Rotarix telah tercemar. Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara yang menggunakan Rotarix supaya “berhati-hati mempertimbangkan manfaatnya untuk terus menggunakannya dalam sebarang keputusan.

Sementara itu, Pengarah Klinikal R & D dan Hal Ehwal Perubatan GSK Malaysia dan Singapura, Dr Teoh Yee Leong, berkata pembuat ubat itu memberikan jaminan kepada HAS bahawa mereka akan “terus berkongsi maklumat dengan HAS apabila ia diperolehi”, kerjasama yang sama seperti itu dilihat tidak dihulurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan kita.

Berdasarkan kepada sikap berdiam diri Lembaga Kawalan Ubatan (DCA) Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini, ia dilihat GSK mempunyai alasan enggan untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung isu kritikal ini kepada Kementerian Kesihatan walaupun sudah 12 hari sejak perkara ini dilaporkan kepada USFDA. Sementara amat bekerjasama dengan HSA Singapura, GSK Malaysia dilihat menyokong sepenuhnya di sebalik Kementerian Kesihatan yang secara terbuka menyarankan penggunaan Rotarix di Malaysia. Kami bimbang jika ini kesnya yang sebenar atau rakyat dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa.

Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat beragama Islam sebagai majoriti seperti negara kita, amat difahami bahawa isu seperti ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif, terutama sekali memandangkan vaksin itu tercemar daripada virus yang berasal daripada babi. Sepertimana yang kita semua tahu, pengambilan babi adalah ‘haram’ atau dilarang kepada orang Islam.

Salah satu rasional saintifik kenapa babi dikategorikan sedemikian oleh Islam memandangkan kepada kehadiran sejenis parasit seperti Taenia solium (pork tapeworm) dan Trichinella spiralis (trichina worm) dan mikroorganisma seperti procine circovirus jenis 1 yang tidak diragui lagi berbahaya kepada kesihatan manusia. Sebab itulah Rotarix yang tercemar dengan PCV1 tidak dapat diterima oleh orang Islam tetapi Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab bukan hanya kepada orang Islam tetapi juga kepada semua rakyat yang beragama lain di negara ini untuk menjelaskan situasi serta mengambil langkah segera untuk menarik balik dan menganalisis kelompok Rotarix yang sedia ada itu tercemar dan mengumumkan amaran di seluruh Negara serta menggantung vaksin itu sehingga ia terbukti selamat.

Kerajaan UAE dan Jordan di mana Islam merupakan majoriti dan agama rasmi telah menjadi contoh dalam tindak balas mereka yang proaktif dan segera terhadap ancaman pencemaran Rotarix. Mereka telah menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab kepada warganegara mereka memandangkan kepada keadaan ancaman iaitu membahayakan kesihatan serta mempunyai kaitan dengan agama dan mereka telah mengumumkan keputusan mereka untuk khalayak ramai.

Sama ada GSK Malaysia telah memberikan amaran atau tidak kepada Kementerian Kesihatan, kami mempersoalkan kenapa Kementerian Kesihatan masih belum mengisytiharkan amaran ke seluruh negara dan menggantung vaksin Rotarix sekarang dan menjalankan ujian keselamatan yang ketat ke atas kelompok Rotarix yang sedia ada.

Apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberitahu dan menyakinkan rakyat terhadap keselamatan anak-anak mereka? Apakah yang menghalang Kementerian Kesihatan daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat? Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika kepercayaan agama dan kesihatan mereka mungkin dikompromikan.

CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung dengan situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.....HarakahDaily

Konsert Jom Heboh di Kelantan cipta sejarah

Pagar yang memisahkan antara penonton lelaki (kanan) dan wanita (kiri).


KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.

Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.

Sambil melahirkan rasa kagumnya di atas sambutan amat menggalakkan Ahmad Farid secara jujur mengakui Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya bagi penganjuran program Jom Heboh selama dua hari.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan Insya-Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, pihak penganjur tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan melibatkan artis wanita.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. kita akur akan syarat dikenakan.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka di bahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.

Antara artis yang mengadakan persembahan malam tadi termasuk Kumpulan Raihan, Yassin (bekas anggota kumpulan nasyid Brothersa), Jamal Abdillah, Jay Jay dan artis dikir barat tersohor negeri ini, Megat Nordin.

Konsert Jom Heboh TV3 yang berjaya dianjurkan buat pertama kali di Kelantan.

Konsert Jom Heboh di Kota Bharu berjaya mengasingkan antara penonton lelaki dan wanita serta pasangan berkeluarga.

sebahagian penonton wanita yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh TV3.

Sebahagian daripada puluhan ribu penonton yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk menyaksikan Konsert Jom Heboh dari dekat.

Kawasan yang dikhaskan untuk pasangan keluarga.



info...: www.bbckelantan.com

Sabtu, Mac 27, 2010

Tuan Guru ke Karnival Jom Heboh TV3


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini diiringi exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, YB Dato' Hj. Takiyuddin Hassan serta exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, YB Hj. Abdul Fattah Mahmood telah datang ke Karnival Jom Heboh TV3, perkarangan Stad. Sultan Muhd Ke-IV.

MB serta Exco telah melawat gerai-gerai ditapak Karnival Jom Heboh TV3, turut dilawati khemah Kerajaan Negeri Kelantan

Karnival Jom Heboh TV3 yang bermula 26 Mac, Jumaat dan berakhir hari ini mendapat sambutan hangat segala lapisan masyarakat dari pelusuk Kelantan,pelbagai acara menarik menanti anda semua dan bagi khemah Kerajaan Negeri Kelantan disediakan permainan "Cabaran Counter Strike" berserta hadiah-hadiah menarik menanti anda untuk dimenangi


oleh: myktv (KelantanTV GROUP)

Jumaat, Mac 26, 2010

Tengku Abdul Aziz dilucut jawatan YDP Majlis Perajaan Negeri

KOTA BHARU, 26 Mac: Kemelut istana Kelantan terus meruncing apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra mengumumkan Tengku Sri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Hamzah dilucutkan jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) berkuat kuasa semalam, 25 Mac 2010.

Menurut perisytiharan yang dibacakan oleh Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias hari ini berkata, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj dilantik sebagai Yang DiPertua MPN yang baru.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Hamzah (Tengku Sri Utama Raja) dibatalkan perlantikan dan dilepaskan daripada menjadi Yang Di Pertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa 25 Mac 2010.

"Saya juga ingin memaklumkan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah mengampuni perkenan dan melantik Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-Haj (Tengku Laksamana Kelantan) sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa 25 Mac 2010," katanya sebentar tadi.

Pada sidang media sama beliau juga turut menjelaskan, majlis penganugerahan pingat kebesaran negeri pada 30 Mac ini tiada kaitan dengan sambutan hari keputeraan raja Kelantan.

Menjelas lanjut beliau berkata, ianya dibuat berdasarkan undang-undang tubuh negeri mengikut peruntukan perkara 43 (1).

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud mengumumkan Sultan Kelantan melucutkan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan diganti YDP MPN, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah.

Bagaimanapun Setiausaha MPN, Datuk Mohd Aiseri Alias semalam berkata, perlucutan kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra adalah tidak sah kerana didakwa tidak mewakli keputusan MPN.

Kata beliau, Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu, katanya, Tengku Faris kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan...harakahdaily

Dr Zainal Abidin Hulu Selangor meninggal


Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia jam 9.30 malam ini selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.

Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi.

Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari.

Harakahdaily

Khamis, Mac 25, 2010

Pengguguran Tengku Faris tidak sah - Setiausaha MPN


KOTA BHARU, 25 Mac: Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, pengisytiharan yang dibuat Datuk Wan Hashim Wan Daud yang melucut kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra (gambar) adalah tidak sah.

“Saya merujuk kepada salinan perisytiharan yang dibuat oleh YB Mulia Tengku Seri Utama Raja, selaku pengerusi Majlis Perajaan Negeri dan Wan Hashim bertarikh 24 Mac yang menamatkan pelantikan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja adalah sama sekali tidak mewakli keputusan Majlis Perajaan Negeri,” katanya kepada media di sini petang ini.

Kata beliau Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu katanya, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri telah bertindak secara bersendirian tanpa memanggil anggota-anggota Majlis Perajaan Negeri bersidang.

“Ini jelas bahawa tindakan di atas adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang tersebut dan ia tidak terpakai,” katanya ketika menunggu keberangkatan pulang Tengku Muhammad Faris Petra di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini.

Pagi tadi Wan Hashim yang mendakwa sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan mengumumkan Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan daripada jawatan sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa hari ini. Beliau digantikan oleh Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Hamzah iaitu bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan.

Sedangkan semalam Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad menjelaskan hanya Pemangku Raja dan Majlis Perajaan Negeri mempunyai kuasa sekarang memandangkan Sultan Kelantan masih gering.

Mohd Aiseri yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) berkata, Pemangku Raja dilantik di atas sebab Sultan gering dan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri.

Mengikut Perkara 22A(1)(b) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Kedua, maka Pemangku Raja akan terus menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehinga Majlis Perajaan Negeri membuat keputusan seterusnya berdasarkan undang-undang.

Mohd Aiseri juga berkata, majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan tetap akan diadakan di Balai Besar pada 30 Mac ini.

"Malam ini akan diadakan solat hajat di Masjid Muhammadi yang dijangka dihadiri pemimpin kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri berdiri teguh di belakang Pemangku Raja berdasar kepada peruntukan undang-undang.

Ditanya cadangan Kelab Penyokong Kerajaan Negeri supaya diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi menyelesaikan konflik membabitkan istana, katanya ia dianggap tidak perlu buat masa ini kerana undang-undang yang ada sudah cukup jelas.

Pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir Negeri, Shafei Ismail berkata, persatuan berkenaan tetap dengan berpendirian awal mendokong Pemangku Raja berdasar kepada undang-undang.

harakahdaily