Program Jom Heboh pertama sedia tapak solat berjemaah
KOTA BHARU, 25 Mac – Program Karnival Jom Heboh yang dijadualkan di Kelantan bermula esok hingga Sabtu mendapat jaminan daripada penganjur untuk mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, pihak penganjur bersetuju untuk mematuhi peraturan yang selari dengan dasar kerajaan negeri antaranya pemisahan tempat duduk antara penonton lelaki dan wanita dan tiada penampilan artis wanita.
Antara kelainan ditampilkan kata Takiyuddin, pihak penganjur turut menyediakan khemah besar sebagai tapak tempat menunaikan solat fardhu secara berjemaah.
Sebagai rekod, Kelantan dipilih negeri pertama penganjuran Jom Heboh 2010 selepas pelancaran program berkenaan pada 27 dan 28 Februari lepas di Kompleks Sukan Bukit Jalil.
“Pihak penganjur telah menyatakan komitmen untuk mematuhi dasar hiburan yang digariskan kerajaan negeri di mana Program Jom Heboh di Kelantan ini bakal menjadi model atau contoh kepada program seterusnya di negeri lain.
“Ini menunjukkan tiada sebab untuk kita menghalang mana-mana konsert hiburan asalkan tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi dasar kerajaan negeri Kelantan termasuk program Jom Heboh TV3 yang sebelum ini dikaitkan dengan percampuran bebas dan menampilkan artis yang menjolok mata,” kata Takiyuddin ketika ditemui di Pejabat Menteri Besar, pagi ini.
Karnival Jom Heboh anjuran TV3 sudah memasuki tahun ke-8 penganjurannya dan telah menarik hampir jutaan pengunjung, tidak kira dari dalam mahupun luar negara.
Bermula dengan Sure Heboh, ia berkembang dari sebuah konsep tapak ekspo/pameran dan gelanggang hiburan sehingga kini, dimana ianya dikenali sebagai Jom Heboh yang cuba menitikberatkan konsep kekeluargaan dan ilmiah.
Untuk tahun 2010 akan memperlihatkan Jom Heboh dengan wadah, improvisasi dan wajah baru. Paling utama ialah mengadakan karnival ini di lokasi-lokasi yang belum pernah dikunjungi – tahun ini, buat pertama kalinya Jom Heboh bertandang ke Kelantan dan selepas ini Terengganu – serta pemfokusan terhadap kekeluargaan dan aktiviti permainan.
Program Jom Heboh di Kelantan akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV, Kota Bharu dengan menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan negeri dan agensinya.
Sebuah khemah besar yang dinamakan sebagai Kota Ilmu disediakan pihak penganjur untuk dijadikan tempat solat berjemaah dan pameran program Jejak Rasul.
Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dijangka akan hadir pada program al-Kuliyyah yang akan disiarkan secara langsung pada petang 26 Mac (esok).
Program dua hari itu bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam.
Beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan terbabit dalam pameran dan aktiviti interaktif iaitu Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Pusat Penerangan Pelancongan...bbckelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan