UMNO seolah-olah tauma dengan gelaran ‘Umno Apco, Apco Umno’ yang dipopularkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar di Dewan Rakyat sejak sesi pagi tadi.
Ekoran itu, Ahli Parlimen Kuaka Krau Datuk Ismail Mohamad membuat usul menggunakan Aturan Mesyuarat 36(12) mengheret Mahfuz ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Pertikaman lidah di Dewan Rakyat dilihat mulai panas apabila Timbalan Speaker Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyebelahi Ismail dengan tidak terlebih dahulu memberikan justifikasi yang matang pada usul yang dibawa oleh Ismail itu.
Akibatnya, rata-rata Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dilihat bangkit memprotes Dr. Wan Junaidi dengan melalungkan ‘Umno Apco, Apco Umno’ secara terbuka.
Dalam aksi protes itu, Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof turut meminta Dr. Wan Junaidi mengambil tindakan ke atas dirinya sebagaimana yang dikenakan ke atas Mahfuz, kerana menyebut ‘Umno Apco, Apco Umno’ di Dewan Rakyat.
Dr. Wan Junaidi kemudiannya menjelaskan bahawa kenyataan Mahfuz adalah mengelirukan dan membolehkan beliau dirujuk ke jawatankuasa tersebut menggunakan Aturan Mesyuarat 26(1) (P).
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kemudiannya bangkit mempersoal tindakan Dr. Wan Junaidi.
“Adakah menyebut perkataan Umno itu menghinakan, adakah Apco itu suatu najis,” soalnya.
Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar pula menganggap usul tersebut adalah tidak tepat kerana Ismail dan Dr. Wan Junaidi masing-masing tidak menggunakan Aturan Mesyuarat yang sama.
Tidak cukup dengan itu, menurut Kamaruddin, kaedah Speaker membuat keputusan tidak menurut Aturan Mesyuarat.
Ini kerana, menurut beliau, Dewan Rakyat tidak terlebih dahulu diminta membahaskan usul dan menerima usul Ismail itu.
Tanpa memberikan justifikasi yang jelas, Dr. Wan Junaidi tetap bertegas dengan keputusannya, iaitu Mahfuz diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah kemudiannya meminta Dr. Wan Junaidi menjelaskan pula tentang kaedah menggunakan perkataan ‘Umno’ dan ‘Apco’ dengan cara yang betul supaya beliau tidak mengulangi tindakan Mahfuz.
Bisa percakapannya seolah-olah membunuh kewarasan Umno!Wan Dr. Junaidi kemudiannya dilihat seolah-olah terperangkap dengan keputusan yang dibuatnya kerana kedua-dua perkataan yang dianggap sensitif oleh Ahli-ahli Parlimen Umno itu tidak memberikan konotasi yang salah.
Dewan Rakyat kelihatan kembali kecoh dengan laungan ‘Umno Apco, Apco Umno’, hatta Dr. Wan Junaidi terpaksa menangguhkan sidang Dewan Rakyat selama 15 minit.
Dr. Wan Junaidi kemudiannya mengambil ketetapan Dewan Rakyat menggunakan undian suara.
Dewan Rakyat kembali gamat dengan laungan ‘Umno Apco, Apco Umno’ sebagai protes pada ketetapan Dr. Wan Junaidi.
Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz kemudiannya mencelah dengan mengatakan bahawa menyebut kalimah ‘Umno’ dan ‘Apco’ seperti memperbudak-budakkan Umno.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua kemudiannya membuat usul untuk membawa Mohamad ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana menyebut ‘Umno Apco, Apco Umno’ sebagaimana yang dilakukan ke atas Mahfuz, tetapi usul itu diketepikan oleh Dr. Wan Junaidi.
Menurut Dr. Wan Junaidi, kenyataan Mohamad tidak boleh ditafsirkan sama dengan kenyataan Mahfuz.
Tegas Dr. Wan Junaidi lagi, sekiranya sesiapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan ketetapannya, mereka dicabar mempertikai tindakannya menggunakan Aturan Mesyuarat 43.
Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Dr. Rais Yatim kemudiannya mencadangkan Dr. Wan Junaidi menggunakan kuasa muktamadnya berdasarkan Aturan Mesyuarat 90.
Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution bangkit lalu mempersoal kemampuan Dr. Wan Junaidi kerana soalah-olah mampu membaca apa yang terbuku dalam hati Mahfuz dan Mohamad.
“Mahfuz sebut Apco dan Umno, begitu juga Mohamad, bagaimana Tuan Speaker (Dr. Wan Junaidi) boleh menganggap Mahfuz salah dan Mohamad betul sedangkan kedua-duanya menggunakan perkataan yang sama,” ujarnya.
Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang kemudiannya merumuskan Dr. Wan Junaidi telahpun melakukan kesalahan dalam menggunakan Aturan Mesyuarat.
Ujarnya lagi, Dr. Wan Junaidi dinasihatkan supaya menggugarkan Mahfuz dan Mohamad dari dibicarakan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, seterusnya meneruskan agenda menyuarat.
Sebagai respon pada cadangan Kit Siang itu, Dr. Wan Junaidi bertegas dengan ketetapannya sebelum ini.
Kekecohan dalam Dewan Rakyat mengakibatkan beliau terus menangguhkan mesyuarat secara tiba-tiba tanpa didahulukan dengan suatu usul penangguhan yang disokong oleh Ahli Parlimen.
Namun, beliau kemudiannya mengaku gagal mengawal perasaannya dan menangguhkan sidang dewan sehingga 10 pagi esok mengikut Aturan Mesyuarat yang sepatutnya. -ENDhttp://zainulfaqar.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan