Halaman

WebTV PAS

KELANTAN TV (LIVE)

Jadual Siaran LIVE Tetap KELANTAN TV www.mykelantan.tv
Kuliah Jumaat
Setiap hari Jumaat
Bermula pukul 8.30 pagi - 10.30 pagi

Rabu, Mac 10, 2010

PAS Wilayah kesal dengan tindakan agresif Polis

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan tindakan agresif dan biadap pihak polis yang menggempur Majlis Sambutan Ulangtahun Pakatan Rakyat WP yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada hari Ahad 7 Mac 2010 lalu.

Tindakan phak polis yang hadir bersama ratusan anggota FRU dan dua trak meriam air bukan sahaja memberi mesej yang sangat negatif terhadap amalan demokrasi di negara ini, malah ia mencabul hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Alasan yang diberikan oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Abdul Aziz Zakaria bahawa pihak penganjur tidak mendapat permit adalah alasan lapuk yang sangat dangkal dan tidak berasas sama sekali. Ini kerana majlis sambutan tersebut diadakan di dalam premis persendirian milik Kerajaan Negeri Selangor dan bukannya dibuat di tempat awam yang terbuka. Mahkamah Tinggi Kuantan dalam satu kes yang melibatkan pimpinan PAS baru-baru ini telah memutuskan bahawa sebarang program yang dibuat di dalam premis persendirian tidak memerlukan penganjur mendapatkan permit polis. Apatah lagi program sambutan yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu adalah satu perhimpunan secara aman yang dimulakan dengan majlis jamuan rakyat dan diikuti dengan ucapan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Tidak ada langsung unsur-unsur kekacauan dan trafik berjalan dengan sangat lancar sehinggalah kehadiran pihak polis dan FRU yang bertindak ganas dan biadap dengan membelasah beberapa orang penyokong Pakatan Rakyat sehingga mengalami kecederaan yang teruk.


PAS Wilayah Persekutuan melihat tindakan kasar pihak polis tersebut tidak langsung mengubah persepsi negatif rakyat terhadap polis. Mengapa perlu ratusan pihak polis dikerahkan semata-mata untuk mengadakan sekatan jalanraya dan mengawal setiap kali program anjuran Pakatan Rakyat, sedangkan kadar jenayah di Kuala Lumpur semakin bertambah setiap hari. Adakah program anjuran Pakatan Rakyat kini dianggap lebih merbahaya dari kes-kes jenayah ragut, rompak, rogol, bunuh, dadah, curi dan sebagainya yang sepatutnya memerlukan tindakan dan pemantau pihak polis. Jelas sekali slogan "rakyat didahulukan" hanyalah merupakan retorik kosong kerajaan semata-mata.


Apa yang menghairankan rakyat ialah dalam himpunan yang dibuat oleh Pemuda UMNO di hadapan Kedutaan Australia dan perarakan serta demonstrasi haram yang dibuat oleh sebuah NGO di Pulau Pinang baru-baru ini, mereka tidak langsung "dijentik" oleh pihak polis. Malah tidak kelihatan pun trak-trak meriam air ataupun tembakan gas pemedih mata kepada peserta himpunan haram tersebut walaupun peserta-peserta bertindak liar dengan melakukan pembakaran di atas jalan raya dan membuat ucapan-ucapan yang berbau hasutan dan perkauman.


Apakah terdapat dua set undang-undang yang berbeza di negara ini? Bilamana ia dianjurkan oleh Pakatan Rakyat, maka undang-undang yang ketat dan disusuli dengan tindakan yang keras dan ganas akan digunakan. Sebaliknya, jika ia dianjurkan oleh pihak yang pro-kerajaan, maka secara automatiknya pelaksanaan undang-undang tadi tidak lagi menjadi penting dan dibiarkan sahaja oleh pihak kerajaan dan polis. Amalan "double standard" yang tidak adil dan tidak bertamadun seperti inilah yang akan membuatkan rakyat semakin bersimpati dan memberikan sokongan yang berterusan kepada Pakatan Rakyat.

AHMAD ZAMRI B. ASA'AD KHUZAIMI
Penasihat Undang-Undang PAS Wilayah Persekutuan
Ketua Penerangan PAS Titiwangsa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan